suria

Hanya sindiran tapi disalah anggap - Kugiran Masdo

Kugiran Masdo berharap ada pihak yang boleh melakukan sesuatu terhadap perniaga yang menciplak hakcipta orang lain untuk kepentingan peribadi. Foto Instagram: @kugiranmasdo.

PETALING JAYA: Kugiran Masdo menafikan mereka bersikap acuh tak acuh membalas komen peminat di Twitter.

Vokalis band baharu itu, Ali Sariah yang mengendali laman sosial tersebut menjelaskan status 'kesian' yang dimuat naik itu sekadar sindiran namun disalah erti.

"Kami tidak berlagak tapi netizen salah faham dengan status yang saya muat naik itu. Isu sekarang ini adalah cetak rompak tapi isu yang besar itu tidak dipandang.

"Mereka lebih tertumpu pada status 'kesian' yang dianggap seperti kami tujukan kepada yang tidak mampu membeli baju Kugiran Masdo.

"Status itu hanya sindiran yang bermaksud saya kesian dengan mentaliti masyarakat kita yang menyokong cetak rompak," kata Ali kepada mStar Online.


Antara komen-komen netizen yang tidak berpuas hati dengan Kugiran Masdo.

Ali diminta mengulas mengenai komen-komen netizen yang berang dan tawar hati berhubung layanan kurang mesra band itu di Twitter.

Isu salah faham itu timbul selepas Kugiran Masdo meluahkan rasa kesal terhadap segelintir peniaga yang menciplak baju kemeja T yang dikeluarkan mereka.

Tambah Ali, dia menegaskan kekesalan itu bertujuan agar pihak tertentu dapat melakukan sesuatu supaya perkara tersebut tidak berlaku lagi.

"Saya hanya tegakkan perkara yang betul. Cetak rompak atau ciplak itu adalah sesuatu perkara yang salah.

"Sebab tu tujuan asal hanya untuk beritahu masyarakat agar tidak ambil kesempatan menggunakan hak cipta orang lain untuk kepentingan peribadi," ujarnya.

Kugiran Masdo memohon maaf kepada yang terasa dengan status di laman Twitter mereka.

Dalam pada itu, Ali yang mewakili band itu memohon maaf kepada yang terasa dengan status tersebut.

Bagaimanapun, band yang popular menerusi lagu Bunga ini akan mengekalkan cara teguran secara sinis namun tetap menerima komen yang betul.

"Saya mewakili Kugiran Masdo dengan rasa rendah diri memohon maaf kepada yang terasa dengan Tweet itu.

"Niat saya hanya nak memperbetulkan apa yang salah. Kami akan kekal dengan cara sindiran namun akan menerima teguran yang betul," katanya.

Kugiran Masdo adalah band indie yang dianggotai Ali, Azham Ahmad (dram), Putu Ceri (bass/vokal), dan Asmawi (gitar/vokal).

Mereka mengetengahkan muzik pop era 1960-an dan popular dengan lagu Teruna Dara, Malam Pesta Rock and Roll dan Berchanda.

Kugiran Masdo

Artikel Berikut

Artikel Lain