suria

Berdengkur... Syuk tak tidur sepanjang malam

Shuk bersama anak perempuannya Nur Qurratu Ain.

PELAWAK Shuk mendedahkan, dia tidak tidur sepanjang malam ketika pertama kali beraya di rumah keluarga isterinya iaitu Rossalennah Asshaferah 
dua tahun lalu.

Shuk atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohamed Sahar, 32, berkata, ia disebabkan dia bimbang tabiat berdengkur menganggu ahli keluarga lain yang sedang tidur dalam rumah berkenaan.

"Raya tahun ini saya giliran beraya di rumah mertua di Sabah, ini bermakna kali kedua beraya bersama isteri di rumah orang tuanya.

"Kenangan paling tidak dapat lupa ialah kali pertama beraya di rumah mertua, saya tidak tidur sepanjang malam kerana takut berdengkur.

"Saya berdengkur kuat dan saya takut orang tidak selesa kerana ketika itu ramai adik-beradik dia yang balik. Kami pula tidur di ruang tamu," ujarnya kepada mStar Online.


Pasangan ini berkahwin pada 2015.

Tambah penyampai radio Hot FM ini, ketika itu, dia juga malu-malu dengan keluarga isteri yang masih baharu mengenali dirinya.

"Kita baru kahwin tak mahulah tunjuk aib. Saya tidur pun pakai baju Melayu supaya sopan, maklumlah bukan kami sahaja yang ada di rumah itu," ujarnya.

Sementara itu, Shuk berkata, Hari Raya Aidilfitri kali ini lebih meriah apabila anak sulung mereka Nur Qurratu Ain kini sudah boleh berjalan.

Katanya, dia dan isteri hanya memberi tumpuan kepada persiapan untuk anak mereka sahaja.

"Persiapan kami berdua sederhana sahaja cuma tahun ini untuk anak sahaja yang meriah.

"Anak saya kini sudah setahun lapan bulan dan boleh berjalan. Tahun lalu dia terlalu kecil, sekarang sudah boleh pakai baju raya dan bergaya," ujarnya.

Shuk

Artikel Lain