suria

Dapat 50 buah lagu, karya Shuib juga dipilih Siti Sarah

Siti Sarah akhirnya muncul dengan 'single' baharu. FOTO: Shaari Che Mat

PENYANYI Siti Sarah Raissuddin mendedahkan dia menerima lebih 50 buah lagu selepas tamat program nyanyian Gegar Vaganza musim ketiga dua tahun lalu.

Bagaimanapun Sarah, 34, berkata, dia akhirnya memilih lagu ciptaan suami iaitu Shuib (Sepahtu) berjudul Semakin yang dirasakan paling sesuai untuk dinyanyikannya.

“Saya terima lebih 50 buah lagu daripada komposer tempatan tapi saya tolak kerana tidak sesuai dan tidak sangka lagu ciptaan suami sendiri juga yang kena dengan saya.

“Dia mengambil masa agak lama berbulan-bulan juga termasuk buat lirik yang mengisahkan tentang percintaan,” ujarnya kepada mStar Online.


Sarah ditemui pada majlis pra dengar single terbaharu berjudul Semakin di pejabat Indigital, di sini, Jumaat.

Dalam pada itu, Sarah berkata, dia berhadapan cabaran ketika sesi rakaman lagu tersebut pada penghujung tahun lalu.

“Saya dah tujuh tahun tak masuk studio rakaman, sudah tentu ada sahaja yang tidak kena bagi saya.

“Kadang-kadang benda kecil pun boleh mempengaruhi saya. Ada sahaja yang tidak kena,” ujarnya.

Sementara itu, persembahan mini yang dirancang pada 4 Mei depan terpaksa ditunda kepada 6 Julai depan berikutan terlalu dekat dengan tarikh Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

PRU14 akan diadakan pada 9 Mei 2018.

Menerusi persembahan mini itu, Sarah akan menyampaikan 12 hingga 15 lagu dalam tempoh kira-kira satu jam setengah.

“Selain daripada tarikh PRU14, 4 Mei terlalu awal untuk saya buat persiapan secukupnya. Kalau boleh saya mahu buat yang terbaik dan memuaskan hati peminat yang lama menanti persembahan saya,” ujarnya.

Persembahan mini itu akan diadakan di Matic, pukul 9 malam.

Shuib, Siti Sarah

Artikel Lain