suria

“Jodoh hanya Tuhan yang tahu” - Hans Isaac mengaku turut menasihati Neelofa

Hans dan Neelofa masih berhubung sebagai kawan.

PETALING JAYA: Pelakon dan produser filem Datuk Hans Isaac menjelaskan hubungannya dengan pengacara Neelofa hanya sekadar kawan baik semata-mata.

Hans, 46, berkata, mereka masih berhubung dan pelakon Red Velvet itu sentiasa meminta pendapat dan nasihat daripadanya dalam beberapa hal.

“Neelofa termasuk dalam golongan kawan baik saya seperti seperti Datuk Afdlin.

“Apa juga berkaitan industri atau perniagaan dia banyak minta nasihat dan pandangan saya. Seperti kontroversi baru-baru ini saya minta dia mengaku bersalah sahaja dan minta maaf.

“Kita manusia tidak sempurna, kadang-kala CEO juga buat kesilapan,” ujarnya kepada mStar Online.

Hans ditemui pada rakaman program Rojak yang diadakan di Sri Pentas 2 di Shah Alam.

Dia diminta mengulas tentang hubungannya dengan Neelofa yang didakwa kembali terjalin selepas foto-foto mereka ketika menonton konsert bersama-sama tersebar di laman sosial, baru-baru ini.

Foto Hans dan Neelofa yang tersebar di laman sosial.

Menjelaskan lanjut tentang hubungan itu, Hans berkata, ia adalah urusan Tuhan.

Katanya, dia enggan mengulas tentang perkara itu bagi menghormati keluarga dan kehidupan aktres berkenaan.

“Hubungan kembali terjalin? Tuhan sahaja yang tahu kerana jodoh di tangan tuhan.

“Kalau boleh saya tidak mahu cakap tentang itu bagi menghormati keluarga dan ibu bapa dia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hans berkata dia tidak mahu disalah anggap cuba menumpang populariti pemilik Naelofar Hijab itu.

Hans Isaac tidak mahu dikata tumpang populariti Neelofa.

Katanya, dia sudah mengenali Neelofa ketika pelakon itu belum mendapat perhatian.

“Saya tidak mahu ada pula lepas ni anggap saya hanya ingin tumpang populariti dia. Saya kenal dia sebelum popular lagi.

“Bagi saya dia masih orang yang sama cuma populariti yang diraih kini berbeza,” ujarnya.

Hans dan Neelofa pernah menjalinkan hubungan istimewa sekitar tahun 2011 namun mengumumkan hubungan tersebut berakhir dua tahun kemudian.

Pelakon lelaki itu kemudian bertunang dengan model Gabrielle Robinson pada Januari tahun lalu, namun memutuskan pertunangan mereka pada Oktober 2017. 

Hans Isaac, Neelofa

Artikel Lain