Kisah itu buat Raja Afiq putus rezeki, 6 bulan jual pemanis mulut - Hiburan | mStar

Kisah itu buat Raja Afiq putus rezeki, 6 bulan jual pemanis mulut

Perbezaan Raja Afiq pada tahun lalu (kiri) dan sekarang.

PELAKON Raja Afiq mendedahkan dia tidak menerima sebarang tawaran selama enam bulan disebabkan kontroversi buruk yang mengaitkan namanya pada tahun lalu.

Raja Afiq atau nama sebenarnya Raja Muhammad Afiq Raja Razali, 25, berkata sepanjang waktu itu dia hanya menjual pemanis mulut untuk menampung kehidupannya.

"Saya pernah melalui kejatuhan apabila enam bulan tidak menerima sebarang tawaran berlakon disebabkan nama saya terpalit dengan kontroversi.

"Ketika itu saya hanya menjual makanan pemanis mulut seperti brownies dan red velvet menerusi laman sosial," kata Raja Afiq kepada mStar Online.



Raja Afiq berniaga di laman sosial sewaktu tiada tawaran berlakon.

Bagaimanapun, Raja Afiq mula ditawarkan untuk berlakon pada awal tahun ini dan berjanji mahu melakukan yang terbaik untuk membina kerjayanya semula.

Biarpun sudah kembali aktif dalam bidang lakonan, pelakon drama Sayangku Kapten Mukhriz itu masih meneruskan perniagaannya secara dalam talian.

"Alhamdulillah, saya sudah menerima tawaran berlakon pada awal tahun ini. Sebagai anak seni menjadi perkara biasa apabila perlu melalui zaman turun naik.

"Fokus utama saya pada tahun ini ialah untuk membina semula karier lakonan. Nak menaikkan semula nama saya dalam industri.

"Namun, perniagaan jual makanan itu saya masih teruskan sebab ia sebagai peringatan ketika saya susah dan hanya itulah rezeki," ujarnya.

Ubah penampilan untuk kelihatan berbeza dalam setiap watak.

Sebelum ini nama Raja Afiq terkait dengan isu menghamilkan seorang wanita namun dia menafikan perkara tersebut.

Sementara itu bercakap mengenai imej baharunya Raja Afiq sanggup berambut pendek untuk kelihatan berbeza dalam setiap watak lakonannya.

"Saya memang sanggup ubah penampilan untuk kelihatan berbeza daripada drama sebelum ini. Sebagai seorang artis, kena buat perubahan itu.

"Selama ini penonton tengok saya dalam drama ada rambut, kali saya nak nampak lain. Jadi, saya potong rambut hampir botak," katanya.

Raja Afiq sedang menjalani penggambaran drama untuk slot Akasia, Cinta Bukan Kristal bersama pelakon Shaanaz Ahmad dan Ayda Jebat. 

Raja Afiq

Lebih Artikel

'Pendaki Bikini' ditemui mati kesejukan

Jutawan ditembak mati di luar rumah mewah

PFA lepaskan Muhammad Zafuan serta-merta

Maut terlebih makan durian