suria

“Kalau saya nak rap dengan ribut petir, itu hak saya” - Joe Flizzow

Joe berasakan tiada masalah menghasilkan lagu berbentuk sindiran. Foto: FARHAN IKRAM

PETALING JAYA: Penyanyi rap Joe Flizzow menganggap trend penghasilan lagu rap berbentuk sindiran merupakan sesuatu yang baik dan secara terbuka menerima cara tersebut.

Joe, 39, berkata, ia merupakan salah satu bentuk kebebasan bersuara dalam meluahkan sesuatu hasrat.

"Bagus, kerana kebebasan untuk bersuara. Saya lebih suka dipanggil depan-depan daripada dihina dari belakang," katanya kepada mStar Online.

Dia ditemui semasa sidang media pelancaran single Sampai Jadi di Hotel New World Petaling Jaya, di sini pada Khamis.

Elemen sindiran dalam lagu bukan perkara pelik.

Penyanyi lagu Apa Khabar ini berkata demikian ketika diminta mengulas isu beberapa buah lagu rap yang dihasilkan kebelakangan ini dilihat seakan menghentam dan menyindir pihak tertentu.

Dalam pada itu, Joe turut berasakan setiap penyanyi atau komposer mempunyai hak untuk menulis lirik mengikut kehendak dan selera mereka.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada usaha dan kemahuan mereka sama ada mahu menghasilkan lagu yang berkualiti atau sebaliknya.

"Artis buat karya, seperti seorang pelukis, ada yang lukis bunga dan ada yang lukis ribut petir.

"Jadi kalau saya nak rap dengan ribut petir, itu hak saya," katanya.

Joe cipta lagu untuk membangkitkan semangat dan motivasi.

Bercakap mengenai lagu terbaharunya berjudul Sampai Jadi, Joe berkata lagu tersebut dihasilkan untuk memberi inspirasi kepada pendengar supaya lebih bersemangat dalam melakukan sebarang pekerjaan.

"Saya nak lagu yang boleh naikkan semangat pendengar. Mungkin ada yang tengah bertungkus-lumus menyiapkan kerja, jadi bila dengar lagu ni mereka dapat lebih inspirasi.

"Kebanyakan peminat saya merupakan golongan pelajar dan belia, semoga dengan mendengar lagu ini akan meningkatkan lagi motivasi dan inilah lagu yang sesuai untuk mereka," ujarnya.

Dalam majlis tersebut, Joe turut melancarkan muzik video rasmi lagu berkenaan yang akan dilancarkan di laman Youtube bemula Jumaat ini.

joe flizzow

Artikel Lain