Hairul Azreen Tak Akan Malukan Mereka - Hiburan | mStar

Hairul Azreen Tak Akan Malukan Mereka

Hairul Azreen berjanji akan memberikan persembahan terbaik dalam filem terbaharu lakonannya iaitu Paskal. Foto MUHAMAD SHAHRIL ROSLI

PELAKON Hairul Azreen berjanji tidak akan memalukan Pasukan Khas Laut (PASKAL), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) apabila dia bakal memegang watak sebagai anggota elit pasukan itu menerusi filem berjudul Paskal tidak lama lagi.

Hairul berkata, meskipun sedar tanggungjawab yang digalas adalah berat namun dia berjanji akan berusaha bersungguh-sungguh dalam menjayakan filem mengangkat perjuangan dan pengorbanan Paskal kepada penonton.

“Dari kecil saya pasang impian untuk bergelar tentera tetapi tiada rezeki.

“Apabila dapat peluang berlakon dalam Paskal ia seperti impian jadi kenyataan dan ketika menjalani latihan di kem tentera saya rasa seperti salah seorang daripada mereka.

“Saya berjanji tidak akan memalukan pasukan PASKAL dan akan menggalas tanggungjawab diberikan dengan baik,” katanya.

Hairul ambil kelas lakonan sebagai persediaan masuk set penggambaran filem Paskal.

Hairul ditemui pada majlis pelancaran filem tersebut yang diadakan pada Jumaat lalu.

Diarahkan oleh Adrian Tan, filem yang bakal menjalani penggambaran di Lumut, Perak, Semporna, Sabah dan Mahgribi pada bulan depan turut menampilkan pelakon seperti Ammar Alfian, Henley Hii, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Theebaan G dan Jasmine Suraya Chin.

Dalam pada itu, Hairul memberitahu latihan selama tiga hari di kem tentera di Lumut bersama anggota PASKAL yang dijalani oleh semua barisan pelakon memberi pengalaman baharu buat mereka selain dapat merasai situasi sebenar sebagai anggota elit.

Kata Hairul, walaupun latihan diberikan hanya 20 peratus daripada yang sebenar namun ia sudah cukup membuatkan dia sedar ia bukan mudah untuk bergelar anggota PASKAL.

“Tanggungjawab memang besar dan sesi latihan bersama anggota PASKAL memang sukar dari segi fizikal dan kami juga berpeluang belajar mengendalikan senjata berbahaya.

“Tetapi ia pengalaman yang sangat menarik dan berharga kerana kami dilayan seperti anggota elit yang sebenar dan banyak ilmu dikutip sebagai persediaan untuk penggambaran nanti,” katanya.

Barisan pelakon Paskal bersama pengarahnya, Adrian Teh.

Sementara itu, Hairul berkata, sebagai persediaan dia juga mengambil inisiatif sendiri dengan mengambil kelas lakonan bagi memantapkan persembahannya dalam filem itu nanti.

Selain itu kata Hairul, dia bersama rakan-rakan pelakon lain turut berlatih sesama sendiri selain berkunjung ke pusat kecergasan sebelum masuk set penggambaran.

"Saya sangat gembira dengan tawaran lakonan filem ini kerana ia projek yang sangat besar.

"Atas dasar itu saya ambil kelas lakonan semata-mata ingin memantapkan lakonan saya dan tidak mahu mensia-siakan peluang diberikan oleh pihak produksi," ujarnya.

Paskal yang diinspirasikan daripada kisah sebenar bagi mengetengahkan kejayaan pasukan elit itu dalam Misi Pengaman PBB di Angola pada 1998 selain misi merampas kapal dagang MT Bung Laurel dari lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.

Hairul Azreen , Paskal , TLDM , Ammar Alfian

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Teknologi analitik data raya asas pelaksanaan inisiatif kerajaan masa depan – Saifuddin Nasution

PROGRAM Subsidi Petrol merupakan inisiatif kerajaan untuk meringankan beban isi rumah berpendapatan rendah melalui pengagihan semula subsidi petrol.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.