suria

Hampir Dua Tahun Ippo Hafiz Bergelar Bapa!

Ippo Hafiz memberitahu kehadiran anak angkatnya, Cinta Rizky Amanda mengubah hidupnya. Foto Instagram @ippohafiz

PENYANYI dan komposer Ippo Hafiz mendedahkan dia sudah bergelar seorang bapa kepada seorang anak angkat diberi nama Cinta Rizky Amanda yang kini sudah pun berusia setahun lima bulan.

Ippo atau Muhammad Hafiz Yaziz, 29, berkata, dia mengambil Cinta sebagai anak angkatnya sejak kanak-kanak perempuan itu dilahirkan namun tidak menghebohkan mengenai perkara itu.

"Saya buat keputusan mengambilnya sebagai anak angkat sebelum dia dilahirkan lagi.

"Saya bukan ingin berahsia tetapi saya fikir Cinta masih kecil lagi dan saya hanya memaklumkan mengenai perkara itu di Instagram bersempena sambutan Maulidur Rasul yang lalu.

Ippo berkongsi mengenai anak angkatnya baru-baru ini di Instagram.

"Tambahan pula segala dokumentasi berhubung mengambil Cinta sebagai anak angkat sudah pun selesai dan saya sendiri yang memberinya nama," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Ippo berkata, dia tergerak hati untuk mengambil Cinta sebagai anaknya kerana terkesan dengan keadaan ibu kandungnya yang susah dan ingin memberikan kehidupan lebih baik kepadanya.

Tambahnya lagi, dia juga sebelum ini berhasrat untuk mengambil anak angkat dan kehadiran Cinta disifatkan sebagai rezeki daripada Allah.

"Keluarganya susah dan saya sering terfikir apa akan terjadi kepadanya jika saya tidak ambilnya sebagai anak saya.

"Walaupun saya belum berkahwin tetapi memang saya teringin nak ada anak dan Alhamdulillah Allah hantarkan Cinta kepada saya," ujarnya.

Ippo memberitahu ibunya banyak membantu dan mengajarnya menjaga Cinta.

Sementara itu kata Ippo, walaupun tiada pengalaman menjaga bayi, dia beruntung kerana ibu bapanya banyak membantu dan mengajarnya menguruskan anaknya.

"Pada awalnya memang saya takut kerana tiada pengalaman. Kalau dah kahwin sekurang-kurangnya ada isteri untuk lalui proses pembelajaran itu.

"Syukur ibu bapa banyak bantu, Alhamdulillah hampir dua tahun saya semakin mahir menguruskan keperluan anak dan kehadiranya banyak mengubah hidup saya," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ippo berkata, dia tidak berasa bimbang sekiranya wanita takut untuk mendekatinya apabila mengetahui dia sudah pun mempunyai anak.

Kata Ippo, seperti mana kehadiran Cinta dalam hidupnya, dia percaya Allah akan memberikannya jodoh yang boleh menerima keadaannya sekarang.

Ippo tampil dengan single terbaharu berjudul Rahsia Tuhan.

"Sebenarnya ramai orang ingat saya sudah berkahwin dan tentang kahwin saya tak bimbang kerana saya percaya kepada jodoh.

"Insya-Allah kalau ada jodoh pasti saya dipertemukan dengan wanita yang boleh menerima saya dan anak," jelasnya.

Kehadiran Cinta dalam hidupnya juga kata Ippo telah memberikan inspirasi kepadanya untuk mencipta single terbaharunya yang berjudul Rahsia Tuhan yang juga lagu runut bunyi drama bersiri Tiada Arah Jodoh Kita.

"Semua yang berlaku dalam hidup kita adalah rahsia Allah dan seperti Cinta yang hadir dalam hidup saya, saya sendiri tidak pernah menjangkakannya.

"Cinta inspirasi saya menulis lagu terbaharu dan Insya-Allah selepas sibuk dengan kerja menggubah lagu sebelum ini, tahun ini saya akan kembali aktif sebagai penyanyi," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain