suria

Rosyam Nor Mahu Peminat Bangsa Cina

Rosyam Nor mahu menarik minat penonton berbangsa Cina. Foto: SYAZANA ABD SHUKUR / The Star

PELAKON Datuk Rosyam Nor berkata peluang berlakon dalam filem Lee Chong Wei adalah platform terbaik untuk dia menarik peminat berbangsa Cina.

Menurut Rosyam, 51, tawaran yang diberi ini akan digunakan sebaiknya bagi membina nama supaya lebih dikenali oleh rakyat Malaysia.

"Saya berasakan ini kesempatan dan peluang untuk orang bukan Melayu mengenali Rosyam Nor dan melihat sendiri hasil lakonan saya. Mungkin lepas ni ada peminat berbangsa Cina pula.

"Tak salah untuk saya katakan ini adalah medan untuk rakyat Malaysia lebih kenal siapa saya dan menghargai sedikit sebanyak usaha seni saya ini," katanya kepada mStar Online.


Rosyam Nor teruja membawakan watak lagenda Misbun Sidek.

Rosyam ditemui semasa sidang media filem Lee Chong Wei, Menjulang Kejuaraan yang diadakan di Quill City Mall, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam sidang media tersebut, artis Nabila Razali dan Priscilla Abby turut diumumkan sebagai penyanyi untuk lagu tema filem berkenaan.

Rosyam memegang watak bekas jurulatih badminton negara iaitu Datuk Misbun Sidek.

Pelakon filem Laila Isabella ini berkata dia menjadikan internet sebagai tempat rujukan mengkaji mengenai karakter Misbun.

Penerbit, Josiah (kiri sekali) dan barisan pelakon filem Lee Chong Wei. 

Malah, dia tidak menghadapi masalah untuk menjiwai watak Misbun kerana dia sangat mengagumi lagenda tersebut.

"Saya tidak berpeluang berjumpa dengan beliau kerana beliau sibuk dengan temasya Olimpik yang lalu. Namun saya ada menghantar mesej menerusi WhatsApp memberitahu saya akan melakonkan watak beliau dalam filem ini.

"Saya membuat kajian menerusi internet tentang karakter dirinya selain berbincang dan mendapatkan bantuan daripada pengarah dan produksi. Tidaklah sukar sangat untuk membawakan watak Misbun sebab membesar di zaman beliau," katanya.

Dalam pada itu, filem Lee Chong Wei berdurasi selama 133 minit akan ditayangkan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 9 Mac ini.

Selain Rosyam, ia turut dibintangi oleh Tosh Chan, Mark Lee, Yeo Yann Yann serta Ashley dan akan menemui penonton di pawagam mulai 15 Mac ini.

Lee Chong Wei, Rosyam Nor

Artikel Lain