suria

‘Hilang’ Dedah Kisah Cinta Irfan Haris

Salah satu babak dalam muzik video Hilang.

KUALA LUMPUR: Selepas berjaya dikenali menerusi dua buah lagu iaitu Redha dan Pesan, penyanyi remaja Irfan Haris kembali dengan single terbaharunya yang berjudul Hilang.

Irfan, 17, berkata, lagu ciptaan pertama bersama abangnya Haikal Iskandar itu berkisar pengalaman 'cinta monyet' yang pernah dilaluinya.

"Saya sangat teruja dengan kemunculan single terbaru ini kerana ia adalah kolaborasi saya dengan abang sendiri. Idea menulis lirik dan menggubah melodinya berlaku secara spontan sekitar Jun tahun lalu ketika kami duduk bermain piano.

"Haikal tiba-tiba mendapat melodi dan dari situ kami kembangkannya selain liriknya juga terkeluar secara spontan. Ia proses yang menyeronokkan disamping memberi kepuasan berbeza kerana ia adalah lagu ciptaan saya dan abang,” katanya kepada mStar Online.

Adik kepada penyanyi Amira Othman ini berkata, lagu tersebut dirasakan lebih dekat kerana kisah yang ditampilkan adalah berdasarkan pengalamannya sendiri.

Tambahnya, proses rakaman berjalan lancar kerna dia lebih menjiwai lagu berkenaan.

"Lagu ini memang ada kena mengena dengan saya. Biasalah zaman remaja banyak ‘cinta monyet’ dan saya gunakan pengalaman itu untuk dijadikan sebuah lirik dan lagu.

"Ia masih mengekalkan genre balada seperti mana dua single terdahulu saya namun Hilang istimewa kerana ia datang dari saya sendiri untuk semua peminat,” ujarnya.

Irfan dalam pada itu turut mengakui berasa gementar menantikan reaksi pendengar terhadap percubaan pertamanya itu namun meletakkan keyakinan ia akan diterima baik peminat.

Irfan bersama abangnya Haikal Iskandar.

Anak muda ini turut memberitahu lagu tersebut menjadi titik permulaannya untuk meneroka bidang penulisan dan gubahan lagu pada masa hadapan.

Sementara itu, Irfan berkata, dia juga sudah menyiapkan muzik video bagi Hilang yang menjalani penggambaran dua minggu lalu dan ia mendapat sentuhan pengarah, Izuan Mokhtar.

Muzik video itu dilancarkan di YouTube serentak dengan pelancaran singlenya pada Jumaat lalu.

Lagu Hilang diterbit dan diedarkan oleh  Seventeen Eleven Music Sdn Bhd.

Selain YouTube, Hilang boleh dimuat turun menerusi platform seperti Spotify, iTunes, Apple Music, Joox, Kkbox dan Deezer.

Irfan Haris

Artikel Lain