suria

Anggota Firdaus Tidak Terlibat Kes Dadah Farid Kamil

Tiada ahli Firdaus terlibat kes dadah.

PETALING JAYA: Kumpulan nasyid Firdaus menafikan terdapat ahli kumpulannya bernama Osh yang didakwa terlibat memasukkan dadah dalam minuman Datuk Farid Kamil.

Salah seorang ahli kumpulan itu, Idzwan Yacob, 30, berkata, laporan yang ditulis menerusi beberapa media telah mencalarkan imej kumpulan nasyid berkenaan.

"Sejujurnya kami terkejut dengan laporan media dan kenyataan rasmi polis tentang ahli kumpulan kami terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan terkait dengan laporan Farid Kamil.

"Kami tidak kenal rapat dengan Farid Kamil dan Osh yang dimaksudkan itu tiada kaitan dengan kumpulan Firduas," ujarnya kepada mStar Online pada Sabtu.

Pada Khamis lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya memberi tempoh sehingga Jumaat buat Ahmad Tajuddin atau Taj dan Osh dari kumpulan Firdaus untuk tampil bagi membantu siasatan.

Selain Idzwan, Firdaus turut dianggotai oleh Mohamad Tarmidi, Mohamad Ismadi Wasli dan Mohd Rasul Mohammad Noor.

Masukkan Dadah Dalam Minuman Farid, Taj (Innuendo) Diminta Tampil 


Taj (dua dari kanan) bersama anggota kumpulan Innuendo. Gambar fail.

Sementara itu tambah Idzwan, kesilapan laporan itu menyebabkan mereka menerima banyak panggilan yang bertanyakan kesahihan perkara berkenaan.

"Sejak dua hari lalu kami menerima banyak panggilan daripada keluarga dan rakan artis. Perkara itu sedikit sebanyak memberi persepsi buruk kepada kami dan kumpulan artis yang lain.

"Ahli kumpulan kami tidak pernah terlibat dengan penyalahgunaan dadah seperti dilaporkan itu," ujarnya.

Dia juga berharap agar pihak polis memastikan kesahihan fakta yang diterima itu sebelum memberi kenyataan rasmi kepada media.

Pada Rabu lalu, pelakon filem KL Gangster, Sofi Jikan ditahan reman selama tiga hari untuk membantu siasatan selepas didapati positif dadah jenis ganja.

Pelakon itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya serta perintah pengawasan sehingga tiga tahun.

Pada 16 Januari lalu, Farid Kamil didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, atas empat pertuduhan iaitu dua tuduhan menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu penjawat awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Manakala pada 25 Januari lalu, Farid Kamil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret sama, atas pertuduhan mengambil dadah jenis jenis THC iaitu dari kumpulan ganja.

Firdaus, Farid Kamil

Artikel Lain