suria

Siapa Kata Ferhad Tinggalkan Dunia Seni?

Ferhad akui laman sosial mempunyai pengaruh yang besar dalam industri seni. Foto: NORAFIFI EHSAN.

PENYANYI Ferhad menegaskan dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan meninggalkan industri muzik tanah air.

Ferhad atau nama sebenarnya Ferhad Iberhim, 47, berkata dia banyak menerima tawaran melakukan persembahan di majlis dan acara tanpa siaran televisyen.

"Saya tak pernah tinggalkan industri muzik tanah air. Malah, saya tak pernah buat kenyataan rasmi apa-apa mengenai perkara itu.

"Tapi saya banyak buat persembahan untuk majlis atau acara di luar kaca TV. Lagipun, saya tak ada lagu baharu untuk tampil ke hadapan," kata Ferhad kepada mStar Online.


Ferhad akur dengan perubahan industri muzik sekarang.

Ferhad ditemui ketika sidang media pelancaran single terbaru berjudul Definasi Cinta di pejabat Warner Music Sdn Bhd, Menara TSL, Mutiara Damansara pada Rabu lalu.

Tambah penyanyi yang terkenal dengan lagu Kasih Berubah ini terpaksa akur dengan perubahan teknologi yang mempengaruhi industri seni.

"Memang akui saya bukan daripada golongan belia zaman sekarang yang lebih mengetahui tentang teknologi dan kepentingan media sosial.

Ferhad tampil dengan single terbaru, Definasi Cinta.

"Kita kena menerima keadaan yang sudah berubah terutamanya laman sosial seperti Instagram dan YouTube yang menjadi pengaruh utama.

"Begitu juga dengan muzik di mana pembeli sudah boleh lihat kita menerusi laman sosial dan aplikasi yang ada sekarang. Saya pun gembira dan selesa dengan cara itu.

"Untuk ada lagu yang bagus sahaja itu tidak cukup. Ada lagu bagus itu satu permulaan, promosi yang hebat dan sedikit kontroversi dapat membantu," ujarnya.

Dalam pada itu, penyanyi yang berasal dari Singapura ini teruja dapat tampil dengan single terbaru yang dicipta oleh rakan dan juga doktor gigi keluarganya, Dr. Irma.

"Saya teruja dengan single terbaru, Definasi Cinta, selepas lebih 12 tahun tidak keluarkan sebarang lagu. 

"Istimewanya lagu ini dicipta oleh rakan saya yang juga doktor gigi keluarga iaitu Dr. Irma. Selama ini saya hanya nyanyi lagu ciptaan sendiri," katanya.

Ferhad

Artikel Lain