suria

Fizi Ali Rasa Takut, Mula Tidur Lewat

Fizi Ali memikirkan tanggungjawab selepas bergelar suami. Foto: M. AZHAR ARIF.

PENYAMPAI radio Suria FM, Fizi Ali kerap tidur lewat disebabkan terlalu memikirkan tanggungjawab yang akan bergelar suami.

Fizi, 29, berkata dia bukan berasa takut atau bimbang namun ia adalah perasaan biasa yang ada pada setiap orang sebelum berkahwin.

"Rupa-rupanya saya baru tahu perasaan orang yang nak kahwin ini. Bila semakin dekat dengan tarikh... mula rasa takut.

"Bukan takut apa, saya fikirkan tentang tanggungjawab yang berat selepas bergelar suami. Banyak benda saya fikir. Tiba-tiba setiap malam buat saya tidur lambat.

"Saya terfikir, betul ke nak kahwin. Bukan sebab tak pasti nak kahwin dengan dia tapi memikirkan antara tanggungjawab yang sangat berat itu," kata Fizi kepada mStar Online.


Bakal disatukan sebagai suami isteri pada 18 Februari ini.

Fizi ditemui ketika sidang media memperkenalkan penyampai radio Suria baharu iaitu Sharifah Shahira di Caffe Pasccuci, Tropicana City Mall, Petaling Jaya pada Selasa lalu.

Tambah Fizi lagi, dia perlu mengambil tahu dari segi agama dan penampilan tunangnya, Syakilla Khoriri selepas bergelar isteri.

"Adakah kita boleh jaga dia baik macam ibu dan bapa dia jaga. Dari segi penampilan, agama lagi. Kita pun bukan baik tapi mencuba jadi lebih baik.

Fizi Ali.

"Tanggungjawab pada suami untuk isteri menjaga semua sekali. Lagi-lagi bahagian penampilan. Saya tak akan memaksa.

"Insya-Allah dia pun akan berubah perlahan-lahan. Tambahan pula, selalunya apabila seseorang itu dah kahwin akan berubah sendiri," ujarnya.

Dalam pada itu, Fizi juga memberi kebebasan pada Shakilla untuk terus berlakon namun ada meletakkan beberapa syarat.

Bagaimanapun, syarat tersebut bukan bermakna cemburu, hanya untuk menjaga hati keluarga kedua-dua belah pihak dan mengelak daripada fitnah.

"Saya bagi dia kebebasan untuk berlakon sebab itu memang minat dia. Tapi saya ada letak syarat.

"Antaranya jangan terlalu nampak mesra dengan gandingan. Bukan sebab cemburu tapi sebab banyak hati kena jaga. Keluarga saya dan dia. Selain itu, untuk elak difitnah," katanya.

Penyampai segmen Suria Pagi dan Shakilla bertunang pada 16 Julai tahun lalu selepas empat tahun menjalinkan hubungan cinta dan akan bernikah pada 18 Februari ini. 

Fizi Ali, Shakilla Khoriri

Artikel Lain