suria

Sokongan Hanis Zalikha Untuk Diana Danielle

Hanis lebih selesa berborak dengan Diana mengenai perkara lain. Foto ZAMIR MAHADI

PENGACARA Hanis Zalikha memberitahu dia sentiasa mengambil berat dengan keadaan rakan baiknya, Datin Diana Danielle yang menjadi perhatian ekoran suami aktres itu ditahan baru-baru ini.

Bagaimanapun kata Hanis, 28, dia enggan menyentuh perkara itu dan lebih selesa berbicara mengenai perkara lain apabila bertemu dengan Diana.

"Diana ada juga bertanya sama ada saya tahu apa yang sedang berlaku sekarang dan saya kata padanya yang saya tahu.

"Tetapi saya tak nak sentuh atau mengulas apa-apa mengenainya dan lebih selesa berborak mengenai perkara lain.

"Saya yakin dia juga lebih selesa jika kami tidak berborak mengenainya tetapi Diana tahu saya sentiasa menyokong dan berada di sisinya jika dia memerlukan saya," katanya.


Hanis dan Diana berkawan baik sejak dulu lagi.

Hanis diminta mengulas mengenai kontroversi yang melanda suami Diana, Datuk Farid Kamil yang ditahan selepas mengamuk dan menyerang seorang anggota polis serta dua orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara di sini pada 11 Januari lalu.

Dalam pada itu, Hanis berkata, sebagai rakan baik dia tidak mahu melangkaui batas persahabatan mereka dengan bertanya mengenai kes itu selain ingin memberi ruang kepada pelakon itu.

"Sekarang pun Diana sibuk dengan penggambaran lagipun saya takut nanti ia melepasi batas persahabatan kami pula.

"Kalau dia sendiri hendak luahkan, dia akan cakap sendiri.

Keluarga bahagia Hanis dan Hairul bersama anaknya, Yusuf.

"Sebagai rakan baik, saya kena bagi ruang kepadanya dan bukannya menambahkan lagi tekanan," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, isteri kepada pelakon Hairul Azreen ini mahu memberi tumpuan kepada anak mereka, Yusuf Iskandar selain perniagaan tudung, Cakenis yang semakin maju.

Kata Hanis, buat masa sekarang dia masih belum terfikir untuk kembali aktif dalam dunia seni biarpun sudah lama menyepi.

"Sekarang ini saya nak tumpukan perhatian sepenuhnya pada Yusuf dan perniagaan tudung saya yang dilihat semakin maju.

"Tak terfikir lagi untuk kembali aktif dalam dunia seni. Biar saya fokus pada dua perkara penting ini terlebih dahulu," kata duta produk Anmum ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain