Nak Kenal Fara Hezel, Jumpa Aiman Tino Dulu! - Hiburan | mStar

Nak Kenal Fara Hezel, Jumpa Aiman Tino Dulu!

Tiada rahsia antara Fara Hezel dan Aiman Tino. Foto @nasrunsulaiman

PENDATANG baharu, Fara Hezel mengakui banyak berkongsi rahsia dengan adiknya yang juga penyanyi popular iaitu Aiman Tino.

Menurut Fara atau Nurfaraazira Yusri, mereka sering bertukar pandangan mengenai kerjaya dan hal yang bersifat lebih peribadi.

"Saya dengan Aiman memang tak ada rahsia. Kami berkongsi banyak perkara termasuklah tentang soal cinta.

"Kalau saya ada mengenali mana-mana lelaki, saya akan beritahu Aiman dulu sebab dia orang pertama yang kena tahu.

Fara mengakui ada lelaki yang cuba mendekati dirinya.

"Jadi, siapa yang nak kenal saya tu, kena jumpa adik dulu ya!," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun, penyanyi berusia 22 tahun ini memaklumkan masih belum berpunya dan mahu fokus dengan karier nyanyian.

Dia turut mengakui ada beberapa orang lelaki yang cuba mendekati dan meluahkan perasaan untuk mengenali dirinya dengan lebih rapat lagi.

"Saya mengakui ada lelaki yang cuba-cuba dekat dengan saya tapi tak adalah sampai tahap nak bercinta.

Fara bersama pentadbir kelab peminat Fara Hezel Supporter, Haryati Abdul Wahab (kiri) dan Nurul Huda Roslan (dua dari kiri).

"Memandangkan saya masih muda lagi dan baru nak bertapak dalam bidang ini, lebih baik saya fokus dengan kerjaya terlebih dahulu," katanya.

Memasuki tahun 2018, penyanyi lagu Terasa Cinta ini berkata dia semakin selesa dengan dunia hiburan.

Malah, anak kelahiran Kuala Kubu Bharu ini tidak kisah jika orang terus mengaitkan dirinya dengan Aiman Tino.

"Ramai yang mengenali saya kerana Aiman Tino dan perkara itu memang tidak boleh dielakkan kerana kami ada pertalian darah.

Kelab penyokong Fara Hezel menganjurkan program santai boling bersama penyanyi tersebut di Sunway Pyramid Selangor, baru-baru ini.

"Cumanya, semoga suatu hari nanti saya boleh berdiri diatas bakat sendiri dan bukan sekadar menumpang populariti adik," katanya.

Demi menghargai sokongan peminat, Fara mahu menganjurkan lebih banyak program santai bersama mereka.

Ujarnya, aktiviti sedemikian mampu mengeratkan hubungan antara artis dan penyokong.

"Seronok apabila dapat meluangkan masa bersama peminat dan jalankan pelbagai aktiviti menarik.

"Insya-Allah, lepas ni kita merancang untuk adakan aktiviti lain pula!," katanya yang bakal muncul dengan lagu baharu pada Februari depan.

Fara Hezel , Aiman Tino

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

"Kami sudah beri yang terbaik" - Aidil

Peng Soon, Liu Ying tinggalkan BAM