suria

“Dulu Tak Pandang, Kini Cium Pipi” - Shiha Zikir

Shiha Zikir mengakui dia pernah tidak dipedulikan ketika awal kemunculannya sebagai penyanyi.

PETALING JAYA: Penyanyi Shiha Zikir mendedahkan dia pernah melalui fasa tidak diberi perhatian oleh segelintir pihak pada awal kemunculannya.

Namun, Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir, 29, berkata, persepsi itu berubah apabila dia baharu sahaja bertemu dengan individu yang sama baru-baru ini.

"Saya tidak faham ada segelintir pihak yang sebelah mata pun tidak mahu pandang saya.

"Tapi baru-baru ini jumpa bukan setakat pandang dua belah mata, tapi siap cium dua belah pipi lagi," ujarnya menerusi Instastory pada Sabtu.

Shiha berkongsi pengalaman pahit dan manis sepanjang berada dalam industri hiburan.

Dalam pada itu, Shiha turut menegur sikap sombong segelintir penyanyi baharu yang tidak pandai menghormati artis yang lebih tua daripada mereka ketika berada di satu lokasi yang sama.

Penyanyi Jagakan Dia itu berkata, tidak ada salahnya penyanyi baharu untuk terlebih dahulu menegur penyanyi yang berumur sebaya dengan ibu bapa mereka.

"Saya lihat ada segelintir penyanyi-penyanyi baru yang tidak mahu menegur artis lama, maksud saya artis yang veteran dan sebaya dengan ibu bapa kita.

"Apa salahnya mereka lebih dahulu tegur dan jika bersikap sombong pun orang tidak suka. Jika tiada mereka yang lama, tiada kita ni penyanyi-penyanyi baru. Tidak tegur saya tidak apa saya pun masih dalam golongan artis yang masih baru," ujarnya.

Dalam perkongsian yang sama, Shiha mengakui berasa sedih apabila masih ada yang mempersendakan nama bapanya Zikir kerana dia masih belum berhijab.

Bagaimanapun, Shiha berkata dia memberanikan diri dan berharap orang ramai yang mempertikaikan perkara itu mendoakan dirinya ke arah kebaikan.

"Selepas menyertai rancangan Mentor sekitar 2011 saya guna nama Shiha Mentor dalam tempoh agak lama. Kemudian saya beranikan diri untuk tukar menggunakan nama arwah bapa saya iaitu Zikir.

"Namun ramai yang mempersendakan Zikir itu membuatkan saya rasa sedih. Walaupun saya tidak bertudung tapi saya harap doakan yang baik-baik. Orang yang selalu kutuk-kutuk pun tidak kemana," ujarnya.

Shiha Zikir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Kak Girl Kini Pelakon Drama, Filem

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

TMJ beri bayangan KJ bakal jadi CEO JDT