Ada Pihak Kurang Senang Ihab Ismail Jadi Penyanyi - Hiburan | mStar

Ada Pihak Kurang Senang Ihab Ismail Jadi Penyanyi

Ihab mahu serius dalam bidang nyanyian dan mengangkat martabat lagu tradisional. Foto: YAP CHEE HONG / The Star

PENYANYI Ihab Ismail menyedari ada pihak yang kurang senang dan mempertikaikan tindakannya menceburi bidang nyanyian biarpun mempunyai kerjaya tetap sebagai seorang doktor.

Ihab atau Mohammad Ihab Ismail, 34, berkata, dia tidak dapat lari dari kritikan walaupun tiada masalah dalam membahagikan antara dua kerjaya itu.

"Ada orang pertikai kenapa jadi penyanyi sedangkan saya doktor. Ada pula segelintir yang meganggap saya tidak serius menjadi doktor sebab buat dua kerja pada satu masa.

"Sebenarnya orang tak faham perjuangan saya. Kalau suruh pilih antara jadi penyanyi dan doktor, saya pun tak boleh pilih," katanya kepada mStar Online.

Ihab mengakui mementingkan pelajaran, kerjaya dan nyanyian.

Ihab kini berkhidmat sebagai doktor pakar perubatan dalaman di sebuah hospital di Sabah.

Namun, penyanyi yang juga anak didik kepada Noraniza Idris itu tiada masalah sekiranya mendapat jemputan nyanyian di semenanjung.

"Saya memang tinggal dan bekerja di Sabah. Namun, ia tidak bermakna saya menolak semua tawaran nyanyian di semenanjung.

"Tapi saya kena pastikan tiada pertindihan jadual antara dua kerjaya itu. Setakat ini tiada masalah, kerjaya saya berjalan lancar," katanya lagi.

Ihab bersama trofi dimenangi di Anugerah Industri Muzik kategori Lagu Pop Etnik Terbaik pada tahun 2014.

Dalam pada itu, Ihab yang juga penyanyi genre tradisional kecewa dengan penerimaan masyarakat yang tidak meletakkan irama itu sejajar martabatnya.

Bagaimanapun, Ihab tidak pernah berhenti dalam memperjuangkan semula irama tradisional itu yang semakin dilupakan.

"Masyarakat kita tersasar dari sudut kecintaan terhadap irama tradisional sedangkan irama ini adalah wajah budaya kita.

"Menerusi Noraniza Idris Production ventures (NIPVSB), kami merangka pelbagai program untuk mengatasi masalah ini.

Ihab bersama penyanyi Azmir Arif.

"Antaranya ialah kita akan mengadakan Siri Jelajah Empayar Akar Kita Zapin Nusantara pada tahun hadapan," katanya.

Menurut penyanyi lagu Puncak Gapura itu, program berkenaan merupakan kesinambungan program tahunan Akar Kita Zapin yang sudah dimulakan pada tahun 2012.

Ihab juga mengakui gembira apabila ada artis-artis baharu yang kini dilihat cuba membawa kembali irama berkenaan.

"Ada beberapa penyanyi baharu seperti Wany Hasrita dan Khai Bahar, saya lihat mereka mula mempersembahkan lagu-lagu berentak tradisional.

Kata Ihab, dia gembira melihat perkembangan itu dan mahu penyanyi-penyanyi lain cuba membuat perkara sama agar irama berkenaan kembali diminati ramai.

Ihab Ismail

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Abam (Bocey) Sah Bergelar Suami

Artikel Lain

Tun M pandu Proton Saga baharu