suria

Isu Krisis Dalaman, Lan Minta Diberi Ruang

Rody (kanan) berkongsi entri tersebut bagi mewakili ahli kumpulan Kristal yang lain.

PENYANYI Lan Kristal meminta semua pihak memberi dia sedikit ruang untuk menumpukan perhatian pada persembahan di Gegar Vaganza musim keempat pada minggu ini.

Lan atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 32, berkata dia akan menjawab segala persoalan berkaitan statusnya sebagai vokalis kumpulan Kristal selepas konsert Gegar Vaganza pada Ahad.

"Maaf, saya sibuk dengan penggambaran video dan kapsul untuk GV. Minggu ini punya tugasan sangat mencabar untuk saya.

"Jadi, saya nak minta sikit ruang untuk saya fokus pada persembahan minggu ini dulu.

"Insya-Allah selepas konsert Ahad, kalau saya dipanggil naik ke sidang media nanti, saya okey untuk jawab apa-apa soalan yang akan diajukan," kata Lan ketika dihubungi mStar Online.


Foto dan status yang dimuatnaik Rody pada Selasa. Foto Instagram: @rodykristal.

Lan diminta mengulas kenyataan pemain gitar kumpulannya, Rody di laman Instagram pada Selasa.

Rody memuatnaik status mengatakan kumpulan Kristal akan merehatkan vokalis mereka dan akan melakukan uji bakat untuk mencari penyanyi baru.

Malah, Rody juga mendoakan Lan berjaya menjadi penyanyi solo seperti yang diinginkan dan dia bersama rakan lain akan memperjuangkan kumpulan tersebut.

Lan dikatakan membelakangi anggota Kristal apabila menyertai pertandingan GV tanpa berbincang terlebih dahulu. Foto Instagram: @lankristal.

"Atas nasihat orang lama kami Kristal akan merehatkan Lan dan akan buat audition mencari penyanyi baru.

"Insya-Allah pengumuman akan dibuat. Moga Lan berjaya dengan hajatnya nak jadi penyanyi solo. Tak kan nak biarkan Kristal diam tanpa penyanyi dan kami nanti tak ada show pula.

"Aku akan memperjuangkan @kristalband bersama @kechiqrangers dan @acapkristal_ moga terus berjaya dan harap korang terus menyokong perjuangan kristal!" tulis Rody.

Rody mewakili anggota kumpulannya berkongsi entri tersebut selepas Lan meluahkan hasratnya untuk mengembangkan kerjaya solo, selain enggan tertumpu pada genre rock.

Lan juga didakwa tidak berbincang terlebih dahulu dengan mereka untuk menyertai program tersebut.

Selain Lan dan Rody atau nama sebenarnya Muhamad Rodi Baharudin, kumpulan yang ditubuhkan sejak 1999 itu turut membariskan Mohd Nur Asraf Baharuddin (Asraf) dan Muhammad Afifi Nor Mohammad (Afifi).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain