suria

Video Tular, Cikgu Meera Jadi Penyanyi

Cikgu Meera tampil dengan single pertamanya berjudul Oh Sayangku.

PENDATANG baharu iaitu Cikgu Meera nekad untuk meneruskan karier seninya sebagai penyanyi selepas video nyanyiannya di aplikasi Smule menjadi tular sejak tahun lalu.

Meera atau Nur Ameera Nabila Azmi berkata, peluang merakamkan lagu bersama komposer terkenal, Eddie Hamid tidak dilepaskan begitu sahaja sebaliknya dia yakin single pertamanya yang berjudul Oh Sayangku dapat diterima baik oleh pendengar muzik tempatan.

"Lagu Oh Sayangku ini bukan sahaja pengenalan saya sebagai penyanyi tetapi juga hadiah kepada pengikut di Smule yang banyak memberi sokongan selama ini.

"Bekerja dengan Eddie Hamid juga adalah pengalaman berharga kerana beliau seorang individu kreatif dan mempunyai cita rasa tinggi dalam sesebuah karya dihasilkannya.

“Harapan saya agar single ini bakal meraih tumpuan peminat sekali gus dapat memberi sokongan terhadap sumbangan kecil hasil seni saya bersama Eddie," katanya.

Oh Sayangku turut mendapat sentuhan daripada penulis lirik dan komposer Nur Hakim.

Cikgu Meera tidak akan tinggalkan karier sebagai guru.

Bagaimanapun kata Cikgu Meera, 24, walaupun telah bergelar penyanyi dia tidak terlintas untuk meninggalkan karier sebagai guru di sebuah sekolah di Shah Alam, Selangor.

Sebaliknya dia yakin dapat mengimbangkan kedua-dua kariernya itu dengan baik tanpa mengabaikan tanggungjawab mendidik anak bangsanya.

"Saya sudah bersedia menjalani kehidupan sebagai anak seni tanpa melupakan tanggungjawab sebagai pendidik dan tidak akan meningalkan karier sekarang.

"Jika ada keseimbangan dan perancangan yang betul, Insya-Allah saya lihat tiada masalah untuk meneruskan kedua-dua karier itu secara serentak," ujarnya.

Bercakap lanjut mengenai Oh Sayangku, Cikgu Meera berkata, ia sebuah lagu yang cukup sinonim dengan jiwanya yang juga mempunyai kaitan dengan kehidupan peribadi dan kerjayanya.

"Lagu ini berkisar kecintaan seseorang yang mempunyai perasaan sayang mendalam selepas di tinggalkan kekasihnya dan berharap kekasihnya akan kembali kepadanya.

“Kelainan single ini jika dibandingkan dengan lagu-lagu masa kini ialah keindahan melodi melakolik dan digarap liriknya yang matang.

Tidak hanya itu, saya turut menekankan aspek vokal selain susunan muzik untuk lagu ini lebih moden dan bercitarasa alaf ini," katanya.

Cikgu Meera, Oh Sayangku

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain