suria

“Masa Tu Saya Tengah Marah” - Sharnaaz

Sharnaaz Ahmad

PETALING JAYA: Pelakon Sharnaaz Ahmad menjelaskan kenyataan menuntut pesalah yang membakar pusat tahfiz diseksa di khalayak sehingga mati itu dibuatnya dalam keadaan marah.

Sharnaaz, 32, berkata, kenyataan berkenaan membawa maksud agar pesalah berkenaan menerima hukuman setimpal dengan perbuatan kejam yang mereka lakukan.

"Status itu saya muat naik dalam keadaan marah yang mana ketika itu saya tidak tahu bahawa kanak-kanak yang melakukan perkara kejam itu.

"Bagaimanapun, walaupun mereka kanak-kanak, hukuman yang dikenakan perlu setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan. Kalau boleh biarlah hukuman itu akan menakutkan orang lain juga. Jangan sampai masanya mereka ini dibebaskan dan melakukan janayah lain pula," ujarnya kepada mStar Online.

Pelakon Bukan Kerana Aku Tak Cinta itu mengulas tentang statusnya di laman sosial pada Jumaat lalu yang menuntut agar pesalah berkenaan menerima hukuman diseksa di khalayak sehingga mati di Dataran Merdeka.

Sharnaaz Ahmad mahu pesalah terima hukuman setimpal.

Status itu mendapat pelbagai reaksi netizen yang setuju dan ada juga menganggap kenyataan itu tidak sesuai untuk dikongsi kepada umum. 

Tambah Sharnaaz, hukuman terhadap tindakan kejam yang didakwa dilakukan oleh tujuh kanak-kanak itu seharusnya memberi pengajaran kepada orang lain.

"Undang-undang Malaysia kadang-kadang terlalu lemah sehingga membuatkan orang ramai tidak takut. Kes mangsa buli tempoh hari pun senyap sahaja.

"Pada saya mereka melakukan kesalahan ini dengan niat untuk membunuh dan perlu pembalasan yang seberat-beratnya," ujar Sharnaaz.

Dalam pada itu, dia turut menyifatkan kenyataannya itu juga berdasarkan perasaan marah kepada dirinya sendiri yang kurang mengambil berat permasalahan dalam masyarakat.

"Ia masalah dalam masyarakat yang mana semua pihak perlu ambil berat, saya juga rasa bersalah kerana kurang ambil perhatian terhadap masalah sosial dan kesempitan pusat tahfiz.

Status Sharnaaz ini menjadi perdebatan netizen.

"Bila sudah berlaku isu seperti ini baru kita nak marah di laman sosial, bagi saya semua pihak perlu bertanggung jawab terutama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) agar lebih memperluaskan lagi kempen kesedaran bahaya dadah," ujarnya.

Dalam kejadian 14 September lalu, seramai 21 pelajar dan dua guru yang bertugas sebagai warden pusat tahfiz itu terkorban apabila asrama yang terletak di tingkat paling atas bangunan tiga tingkat terbakar pada pukul 5.15 pagi.

Susulan itu kejadian itu, polis menahan tujuh remaja berusia antara 11 tahun hingga 18 tahun bagi membantu siasatan.

Sharnaaz Ahmad, Pusat Tahfiz

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain