suria

“Saya Dah Bosan” - Amar Asyraf

Amar diakui antara pelakon yang mampu memberi penghayatan yang mendalam pada setiap watak yang diberi.

PELAKON Amar Asyraf secara berterus terang mengaku sudah bosan dengan industri seni tanah air kerana sering menghidangkan skrip dan jalan cerita dalam sesebuah drama yang terlalu klise.

Amar atau nama sebenar Amar Asyraf Zailuddin, 30, berkata dia kini lebih fokus kepada menjadi pengarah sebuah teater kerana kerjaya itu lebih mencabar dirinya dalam bidang seni.

"Terus-terang saya katakan yang saya sudah bosan dengan industri seni sebab itu sekarang saya lebih fokus pada teater sahaja.

"Kebanyakkan skrip dan jalan cerita sesebuah drama terlalu biasa dan klise. Sampai satu masa saya rasakan sudah tidak ada cabaran dalam setiap watak yang diberikan.

"Tapi bukanlah bermaksud saya nak berhenti berlakon drama. Kalau ada watak yang mencabar, saya akan ambil. Buat masa ini saya lebih kepada mengarah teater," kata Amar kepada mStar Online.

Amar mengakui teater lebih memberi kepuasan pada dirinya berbanding lakonan komersil.

Amar baru selesai mengarah teater berjudul Perempuan Satu Malam yang dibintangi pelakon Ellie Suriaty, Mardiana Alwi dan Amanda Misbun yang diadakan di Auditorium Taman Budaya, Jalan Tun.H.S Lee pada 28 hingga 30 Julai lalu.

Sementara itu, Amar meluahkan rasa gembira dipilih sebagai duta bagi produk pencuci alat sulit lelaki yang pertama dikeluarkan oleh syarikat DBI Healty & Beauty yang diberi nama Durro.

Biarpun produk tersebut melibatkan bahagian sensitif lelaki, namun Amar tidak rasa perkara itu membuatkan dia segan untuk mempromosikan di laman sosial.

"Saya telah dilantik untuk menjadi duta pencuci alat sulit lelaki jenama Durro yang dikeluarkan oleh syarikat milik Datuk Boy Iman. 

"Produk ini memang sesuai untuk kegunaan harian memandangkan lelaki juga perlu menjaga kebersihan dalaman.

"Bagi saya, tidak perlu malu atau segan bila bercakap tentang bahagian tersebut kerana ia adalah perkara normal yang perlu diambil tahu. Saya juga tak ada rasa malu pun nak promosi produk Durro ini di laman sosial," ujarnya.

Amar Asyraf

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain