suria

“Tak Suka Boleh Unfollow” – Fasha Sandha

Fasha mengakui lali dengan cakap-cakap negatif tentang dirinya. Foto Ihsan Instagram @fashasandha & @mindorder

SIKAP terbuka pelakon Fasha Sandha dalam meluahkan perasaannya tentang pelbagai perkara di Instagram sering mengundang perhatian sehingga menjadi sasaran haters.

Bagaimanapun kata Fasha, dia tidak pernah berasa terganggu dengan komen negatif diterimanya kerana laman sosial tersebut adalah ruang peribadinya dalam berkongsi pelbagai perkara.

Malah kata aktres berusia 33 tahun ini, dia tidak melihat keterbukaannya itu sebagai satu kesalahan kerana sebagai manusia biasa kehidupannya juga ada suka dan duka.

"Itu Instagram saya, jadi terpulang kepada saya untuk menulis apa sahaja yang saya rasa dan kalau ada tidak boleh terima boleh unfollow!

"Pada saya ia tidak menjadi kesalahan untuk meluahkan perasaan kita di laman sosial dan bukannya hanya menunjukkan perkara yang baik sahaja kerana saya juga manusia biasa.

"Ada harinya kehidupan saya penuh dengan kegembiraan dan kebahagian dan sebaliknya," kata Fasha.

Karier seni Fasha kini lebih terurus dibawah pengurusan Mind Order Management.

Dalam pada itu, Fasha berkata, dia tidak pernah membaca komen negatif pengikutnya kerana menganggap golongan ini sebenarnya peminat tetapi keliru.

"Saya jenis orang yang tahu akan baik dan buruk dalam sesuatu tindakan yang diambil dan saya ok sahaja dengan apa sahaja orang hendak kata kerana sudah lali.

"Saya tak baca komen negatif tetapi kalau ada orang maklumkan kepada saya mengenai komen yang melampau barulah saya akan sekat mereka.

"Ingat dahulu ada orang wujudkan Facebook We Hate Fasha Sandha? Mana akaun itu sekarang? Pada saya haters yang banyak masa menulis panjang-panjang mengenai kita mereka minat tetapi keliru," ujarnya.

Fasha bakal memasuki set penggambaran drama bersiri Syurga Kedua.

Dalam perkembangan lain, Fasha berkata, karier seninya kini lebih teratur sejak menyertai syarikat pengurusan Mind Order Management (MOM) sejak Februari lalu.

Dia memilih untuk berada di bawah syarikat itu kerana percayakan kredibiliti MOM yang mampu membawa kariernya ke tahap lebih tinggi.

"Faktor saya seorang ibu kepada dua cahaya mata memang sukar untuk menyusun jadual namun Alhamdulillah bersama MOM ia melancarkan perjalanan karier saya.

"Saya juga sudah mengenali mereka sejak dahulu lagi dan lebih mudah bekerja dengan rakan baik sendiri kerana mereka sudah tahu stail saya bekerja.

"Walaupun berkawan baik namun kami profesional apabila bekerja dan percayakan kredibiliti Mind Order," katanya.

Fasha juga memberitahu dia bakal memasuki set penggambaran drama bersiri 70 episod iaitu Syurga Kedua bersama Zarul Husin dan Siti Elizad.

Fasha Sandha

Artikel Lain