suria

Ummi Nazeera Tolak Tajaan Kahwin Melainkan Satu

Ummi Nazeera akui terpaksa menolak cara baik tajaan yang dirasakan tidak perlu.

PELAKON Ummi Nazeera memberitahu, menjelang majlis pernikahannya bersama Dr Izzar pada 3 Ogos depan, dia hanya menerima satu tajaan sahaja daripada pihak luar.

Ummi, 27, memberitahu, dia tidak berhasrat untuk menerima tajaan pada sesuatu perkara yang dirasakan tidak perlu. 

"Bukan tak ada yang nak menaja sebaliknya ramai berminat untuk tujuan itu, namun saya hanya terima satu tajaan sahaja iaitu berinai.

"Bukan tolak rezeki tetapi saya rasa hanya berinai yang saya perlukan sementara untuk persiapan lain, saya dan keluarga boleh uruskan sendiri, InsyaAllah," katanya kepada mStar Online.

Ummi dan Dr Izzar akan bernikah di Le Meridien Hotel Putrajaya dengan dua majlis resepsi pada 5 dan 12 Ogos depan bertemakan Etnik Islamik.

Ummi akui berdebar menunggu saat bergelar seorang isteri.

Dalam pada itu kata pelakon drama bersiri Patahnya Sebelah Sayap ini lagi, sehingga kini dia sudah berasa debaran bergelar seorang isteri.

"Saya berdebar bukan kerana memikirkan soal persiapan majlis sebaliknya berdebar kerana bakal bergelar seorang isteri. Tidak perlulah saya mengulas lanjut tentang perkara itu," ujarnya tersenyum manja.

Berkongsi perancangan berbulan madu pula, kata Ummi dia dan suami merancang untuk ke dua buah lokasi iaitu di dalam dan luar negara.

"Kami memilih untuk berbulan madu di Sabah dan Switzerland insyaAllah selepas selesai majlis respesi ketiga yang akan berlangsung di Dewan Banquet FELDA 12 Ogos depan," katanya.

Ummi dan Dr Izzar, 30, bertunang dalam sebuah majlis tertutup di kediaman keluarganya pada 11 Disember tahun lalu.

Ummi Nazeera

Artikel Berikut

Artikel Lain