suria

Filem 'Mia Tiara' Buka Peluang Wanita Bertudung Ujibakat Sebagai Pelakon

Fathia Latiff dijangka akan memegang watak sebagai Mia Tiara menerusi filem arahan Norazah Sahud itu.

KUALA LUMPUR: Wanita berhijab di Malaysia berpeluang untuk menjadi sebahagian daripada barisan pelakon filem terbaharu yang berjudul Mia Tiara.

Pengarahnya, Norazah Sahud berkata, buat masa ini pihaknya sedang menunggu keputusan daripada pelakon Fathia Latiff untuk memegang peranan utama dan sekiranya tawaran itu ditolak maka ia akan dibuka kepada umum menerusi sesi ujibakat.

"Setakat ini Fathia sudah menyatakan persetujuan untuk memegang watak sebagai Mia Tiara namun keputusan itu belum muktamad selagi tiada persetujuan hitam putih daripada pihak Fathia.

"Sekiranya Fathia bersetuju kami amat berbesar hati tetapi jika sebaliknya berlaku kami akan membuka peluang kepada wanita-wanita bertudung di luar sana untuk hadir ke uji bakat.

"Kami akan adakan hebahan dalam misi mencari pelakon yang akan memegang watak Mia Tiara dan beberapa watak sampingan lain," katanya kepada mStar Online.

Norazah ditemui pada majlis pelancaran filem Mia Tiara bersama pihak media di Restoran Istana Bamboo, Ulu Klang, di sini pada Khamis.

Filem terbitan Tenview (M) Sdn Bhd ini turut dibintangi oleh pelakon Siti Eja, Amar Asyraf, Faizal Hussein, Izzue Islam, Julia Ziegler, Hafreez Adam dan Nadia Shahab.

Sementara itu, Norazah berkata, filem itu bakal menjadi sebuah karya okonik Islamik dengan mengangkat kisah perjuangan hidup dan inspirasi seorang wanita bertudung.

"Saya percaya Mia Tiara akan menjadi satu karya yang mempunyai identiti tersendiri dan boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa, Insya-Allah.

"Ini kerana kami filem ini nanti akan menjadi antara satu-satunya karya tempatan yang 100 peratus mengangkat kisah gaya hidup wanita berhijab.

"Ia juga diharap mampu memberi inspirasi kepada penonton khususnya Muslimah pada hari ini," ujarnya yang menjangkakan kos pembikinan filem itu nanti menelan kos RM1.2 juta.

Tambahnya lagi, Mia Tiara tidak sahaja menampilkan sisi glamour dalam konteks fesyen dan peragaan tetapi turut mengungkap unsur-unsur kemanusiaan serta kasih sayang, hubungan kekeluargaan, pengorbanan dan cinta sejati.

Filem ini dijangka memulakan produksi pada April tahun hadapan dan berkemungkinan akan ke luar negara untuk penggambaran bergantung kepada bajet dan tajaan diterima.

Mia Tiara, Fathia Latiff

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain