suria

OKU, Orang Asli Antara Peserta 'Pendakwah Cilik'

A. Aida (berdiri lima dari kanan) bersama wakil Hypp TV dan mereka yang terlibat dalam rancangan Pendakwah Cilik.

KUALA LUMPUR: Program realiti Islamik terbitan Hypp TV iaitu Pendakwah Cilik menampilkan kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan dan seorang anak Orang Asli antara sepuluh perserta yang akan bertanding dalam rancangan itu.

Penerbitnya iaitu Datuk A. Aida berkata, penyertaan adik Nuradriana AB Murak, 10, dari Terengganu yang tidak mampu melihat dan Muhammad Aiman Ramli, 11, dari Gombak iaitu anak Orang Asli antara keistimewaan rancangan 13 episod itu.

Antara peserta Pendakwah Cilik yang hadir dalam sidang media di Menara KL. Berdiri dari kiri ialah; Ahmad Asyraf Azraei, Nor Farhana Izzati Kamaruzlan, Athirah Azraei, Adam Hakimi Khairul Nizam, Muhammad Zaidanul Amin dan Mohamad Zaki. Duduk dari kiri ialah; Harith Mohd Apandi dan Muhammad Aiman Ramli.

"Kehadiran dua peserta istimewa ini merupakan penyeri kepada Pendakwah Cilik iaitu platform untuk kanak-kanak berusia 9 hingga 12 tahun  berkongsi bakat dan kebijaksanaan dalam menghayati Al-Quran.

”Mereka akan diuji tahap kelancaran membaca Al-Quran, boleh bertaranum dan bijak dalam syarahan,” katanya kepada mStar Online.

A. Aida.

A. Aida ditemui pada majlis pelancaran Pendakwah Cilik di Menara Kuala Lumpur, di sini, pada selasa.

Daripada 300 peserta yang menyertai uji bakat seramai 10 peserta telah dipilih menyertai rancangan itu bagi musim pertama ini.

"Pemilihan kedua-dua peserta istimewa ini tidak dirancang tetapi dipilih atas dasar kebolehan dan bakat yang mereka ada.

"Namun pihak kami tidak menolak kemungkinan ini akan menjadi faktor pembantu untuk menarik orang menonton rancangan ini," katanya.

Selain itu Pendakwah Cilik akan menjadi lebih dengan penyertaan dua beradik dari Melaka iaitu Athirah Azraie, 12, dan Ahmad Asyraf Azraie, 11, yang akan bersaing dengan lapan lagi perserta terpilih.

Peserta-peserta Pendakwah Cilik lain ialah Harith Mohd Apandi, 11, Bir Farhana Izzati Kamaruzlan dan Muhammad Fris Hakim Mohd Nasir.

Adik Nuradriana AB Murak (kiri) dan Muhammad Aiman Ramli.

Turut menyertainya ialah Adam Hakimi Khairul Nizam, 12, Muhammad Zaidanul Amin Mohd Zaki dan Muhammad Syadril Idham Sable, 12.

Seramai lapan juri jemputan akan bersama-sama dengan juri tetap program tersebut iaitu ustaz Tarmizi Abdul Rahman.

Antara juri jemputan yang terlibat ialah Imam Muda Asyraf, Asyraf Muslim, PU Hafiz dan Ustaz Nabil.

Ia akan dihoskan oleh Ustaz Fakhrul Radhi dan bakal bersiaran pada 26 November depan, setiap Sabtu pukul 8 malam di Salam HD (Saluran Hypp TV 113) dan Hypp TV Everywhere.

Pendakwah Cilik, A. Aida

Artikel Lain