suria

"Saya Pitam Sebab Penat, Bukan Dirasuk" - Siti Sarah

Siti Sarah menyangkal dakwaan kononnya punca dia pitam dibelakang pentas konsert Gegar Vaganza 3 minggu lalu disebabkan diganggu makhluk halus. Foto Ihsan Instagram @sitisarahraisuddin
PETALING JAYA: Penyanyi Siti Sarah memberitahu dakwaan dia pitam di belakang pentas Gegar Vaganza (GV3) pada minggu lalu kononnya disebabkan gangguan makhluk halus adalah tidak benar.

Sarah atau Siti Sarah Raisuddin, 32, bagaimanapun berkata, dia ada mendengar tentang cerita mengenai kewujudan aktiviti paranormal di lokasi acara itu namun tidak pernah diganggu seperti mana didakwa.

"Apa yang diperkatakan itu tidak benar dan pada saya biasalah bila ada sesuatu yang berlaku cerita dongeng pun akan mula timbul.

"Ada saya terdengar tentang kewujudan perkara-perkara pelik tetapi Alhamdulillah tidak pernah berlaku kepada saya seperti didakwa," katanya kepada mStar Online.

Sarah mengulas ketiadaannya pada segmen penyingkiran dalam konsert GV3 minggu lalu apabila ada pihak mendakwa dia terpaksa dibawa pulang kerana dirasuk benda halus ketika berada di belakang pentas.

Sarah mara ke minggu keenam konsert Gegar Vaganza 3.

Pada konsert minggu kelima yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada malam Ahad lalu, Sarah menyampaikan lagu nyanyian asal Datuk Siti Nurhaliza berjudul Purnama Merindu.

Penyanyi itu mara ke minggu seterusnya dan bakal menyampaikan lagu Senggol Senggolan Cubit Cubitan nyanyian Mas Idayu.

Dalam pada itu, Sarah berkata, dia pitam disebabkan kepenatan akibat tidak menjaga pemakanannya yang menyebabkan dia tidak bermaya.

Kata Sarah, sejak menyertai GV3 dia sering terlupa untuk makan kerana terlalu sibuk dengan persediaan konsert selain jadualnya yang padat dengan pelbagai aktiviti.

"Memang saya kena 'rasuk' tetapi sebab lapar kerana tidak makan sehingga saya berasa pitam, itu sahaja.

"Alhamdulillah tiada yang serius cuma saya perlu lebih menjaga pemakanan dan mengambil vitamin agar kejadian serupa tidak berulang.

"Doktor pun menasihatkan saya agar lebih banyak berehat dan jangan tertekan akibat kerja," ujarnya.

Siti Sarah, Gegar Vaganza 3

Artikel Sebelum

Artikel Lain