suria

Ibu Syamsul Yusof Minta Mawi Berlakon 'Munafik 2'

Mawi menerima tawaran berlakon daripada Syamsul Yusof.

PETALING JAYA: Penyanyi Mawi memberitahu dia berkemungkinan akan membuat kemunculan dalam filem terbaharu arahan Syamsul Yusof iaitu Munafik 2.

Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 35, berkata, Syamsul memberitahu ibunya iaitu Datin Fatimah Ismail yang membuat permintaan tersebut.

"Syamsul ada bertanya jika saya berminat untuk berlakon dalam Munafik 2 yang bakal memasuki set penggambaran pada Oktober depan.

"Dia memberitahu ibunya yang membuat permintaan agar saya berlakon dalam filem itu memandangkan saya sudah lama tidak berlakon," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun kata Mawi, dia masih belum memberi keputusan kerana mempunyai beberapa komitmen yang telah diatur lebih awal.

"Menarik juga sebenarnya tawaran Syamsul itu tetapi tidak pula diberitahu saya bakal memegang watak apa dalam filem itu nanti.

"Saya pun belum memberi kata putus kerana ada beberapa komitmen yang perlu diselesaikan terlebih dahulu," jelasnya.

Mawi dan Syamsul sekali lagi berkolaborasi menerusi lagu Bukan Propaganda.

Dalam pada itu, Mawi yang pernah muncul dalam filem seperti Magika dan Jin Notti berkata, dia masih meminati bidang lakonan dan pernah beberapa tawaran diberikan kepadanya.

Namun kata Mawi, dia terpaksa menolak kerana ia memerlukan komitmen yang tinggi dan tidak dapat melunaskan permintaan tersebut.

"Sebelum ini saya pernah mendapat tawaran berlakon dalam filem Bravo 5 dan Kanang Anak Langkau: The Iban Warriors tetapi saya tolak kerana memerlukan komitmen tinggi walaupun saya cukup tertarik untuk terima.

"Tambahan pula ia filem aksi jadi saya perlu persediaan rapi termasuk latihan yang mengambil masa lama," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mawi berkata, dia sekali lagi bakal tampil dengan lagu duet bersama Syamsul berjudul Bukan Propaganda yang akan dijadikan lagu runut bunyi filem Disolusi arahan Syafiq Yusof.

Selain itu, Mawi juga akan mengadakan persembahan istimewa iaitu Sedekad Mawi Bersama Sahabat yang bakal berlangsung di Hotel Equatorial Melaka pada 28 Oktober depan.

Menerusi persembahan itu, Mawi akan menjemput semua penyanyi yang pernah berduet dengannya seperti Datuk M. Nasir, Yasin Sulaiman, Rabbani, Dali Filsuf, Zamani (Slam), Syamsul Yusof dan Hazama.

Munafik 2, Syamsul Yusof, Mawi

Artikel Berikut

Artikel Lain