suria

Ibu Jadi Peneman Ruhainies Untuk Elak Fitnah

Ruhainies tidak pernah berasa terkongkong apabila sering ditemani oleh ibu atau ahli keluarganya selepas dihimpit kontroversi. Foto Ihsan Instagram @sitibuhari
KUALA LUMPUR: Pelakon Ruhainies tidak pernah terkongkong apabila ditemani oleh ibu atau ahli keluarganya selepas dihimpit kontroversi kononnya mempunyai hubungan istimewa dengan suami kepada penyanyi Adira iaitu  Datuk Seri Adnan Abu.

Ruhainies atau Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 24, sebaliknya berkata, dia berasa lebih selamat selain ia dapat mengelak daripada timbulnya fitnah seperti mana berlaku sebelum ini.

"Saya sebenarnya boleh menjaga diri sendiri tetapi sedar sebagai selebriti gerak-geri kita sentiasa diperhatikan oleh orang lain.

"Kehadiran ibu, ahli keluarga atau pun pembantu peribadi ke mana sahaja saya pergi sebenarnya membuatkan saya berasa lebih selamat tambah lagi dengan kejadian berlaku sebelum ini.

"Kerjaya saya banyak bertemu dengan orang dan jika ada teman ia boleh mengelakkan fitnah," katanya kepada mStar Online.

Ruhainies dan Mira Filzah (kanan) bersama pengasas jenama fesyen Siti Buhari iaitu Siti Datuk Sosilawati pada sidang media pelancaran koleksi pertama pereka fesyen itu.

Ruhainies ditemui pada pertunjukan fesyen jenama Siti Buhari yang diadakan di Zebra Square di sini, Ahad lalu.

Dalam pada itu, Ruhainies berkata, dia berharap selepas ini tiada lagi kontroversi melanda kariernya kerana dia enggan dikenali hanya kerana cerita-cerita negatif.

Katanya, fokus dia kini adalah untuk mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pelakon baharu selain menimba lebih banyak pengalaman.

"Tidak sampai setahun saya bergelar pelakon, pelbagai gosip dan kontroversi berlaku dan harap-harap selepas ini tiada lagi.

"Kalau boleh biarlah saya dikenali kerana lakonan saya selain pencapaian seperti memenangi anugerah dan bukannya kontroversi," ujarnya.

Ruhainies dan Mira Filzah mengayakan busana Siti Buhari.

Sementara itu, Ruhainies berkata, dia bersyukur walaupun dilanda kontroversi ia tidak menggangu karier lakonannya.

Sebaliknya, jadual dia padat dengan pelbagai aktiviti seni dan bersyukur rezekinya tidak putus-putus.

"Banyak lagi perkara yang perlu saya belajar kerana saya ingin menjadi seorang pelakon versatil.

"Alhamdulillah walaupun tidak sampai setahun saya banyak menerima tawaran berbeza dan ia memberi peluang kepada saya untuk memperbaiki mutu lakonan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ruhainies berkata, dia bakal memasuki set penggambaran dua drama selain muncul sebagai model dalam muzik video terbaharu kumpulan Hyper Act.

Ruhainies

Artikel Sebelum

Artikel Lain