suria

Ditahan Polis, Adlin Sekadar 'Kambing Hitam'

Adlin bersama peguamnya, Shah Rizal Abdul Manan ketika hadir pada sidang media yang diadakan pada Sabtu. Foto IBRAHIM MOKHTAR

PETALING JAYA: Pelakon Adlin Aman Ramlie tidak menolak dirinya menjadi mangsa perangkap dan eksploitasi sindiket pelaburan haram sehingga ditahan pihak polis pada Rabu lalu.

Adlin, 44, yang tampil dalam sidang media yang diadakan pada Ahad turut menegaskan dia tidak terlibat dalam sebarang aktiviti seperti diperkatakan dan dijadikan 'kambing hitam' bagi kepentingan pihak tidak bertanggungjawab.

"Saya ingin tegaskan di sini saya langsung tidak terlibat dalam sebarang urusan pelaburan tidak sah melibatkan syarikat berkenaan.

"Saya secara peribadi merasakan diperangkap, dieksploitasi selain rangkaian sindiket ini telah menjadikan saya sebagai kambing hitam," katanya pada sidang media yang diadakan di Sri Pentas di sini.

Rabu lalu, Adlin ditahan di rumahnya kira-kira pukul 2.30 petang bagi membantu siasatan dipercayai berhubung sindiket penipuan hartanah yang melibatkan kerugian jutaan ringgit.

Pelakon itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dekat sini bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan.

Adlin akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis.

Dalam pada itu, Adlin menyangkal laporan media kononnya dia ditahan reman selama empat hari sebaliknya hanya ditahan selama 24 jam bagi membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis.

"Alhamdulillah siasatan berjalan dengan lancar dan saya memberikan kerjasama baik kepada pihak polis.

"Cuma saya tidak direman seperti dilaporkan sebaliknya ditahan dan dilepaskan atas jaminan polis," jelasnya.

Bagaimanapun kata Adlin, dia boleh dipanggil pada bila-bila masa untuk diambil keterangan jika ada keperluan berbuat demikian bagi membantu siasatan yang masih dijalankan.

Menjelaskan situasi sebenar, Adlin mengakui dia banyak terlibat dalam program berbentuk sistem pemasaran pelbagai peringkat (MLM) namun hanya sebagai penampilan khas atau memberi ceramah motivasi.

Jelasnya lagi, dia langsung tidak terlibat dalam mempromosikan sebarang bentuk agenda sesebuah syarikat MLM dan kali terakhir hadir sebagai penceramah pada Disember tahun lalu.

"Saya tidak menafikan mengenali ramai individu dalam rangkaian ini termasuk yang ditahan pihak polis baru-baru ini.

"Bagaimanapun saya tidak mempromosikan apa juga yang mereka lakukan kerana kehadiran saya sama ada sebagai seorang profesional iaitu tetamu atau memberi ceramah motivasi.

"Malah kali terakhir saya muncul dalam program sedemikian adalah pada Disember tahun lalu," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Adlin berkata, dia komited untuk memberi kerjasama kerana ingin memastikan sindiket penipuan berkenaan dapat ditumpaskan sepenuhnya.

Kata Adlin, dia tidak mahu ada lagi pihak yang terpedaya dengan sindiket penipuan atau MLM yang tidak sah.

"Saya belajar daripada pengalaman ini dan akan lebih berhati-hati dalam setiap acara atau majlis yang akan saya hadiri.

"Kejadian ini juga diharap dapat memberi pengajaran kepada orang ramai malah rakan selebriti agar tidak mudah terpengaruh dengan rangkaian seperti ini.

"Saya akan berikan kerjasama sepenuhnya sekiranya dipanggil untuk berbuat demikian bagi memastikan sindiket seperti ini dapat dihapuskan," ujarnya.

Sementara itu, peguam Adlin, Shah Rizal Abdul Manan berkata, tuduhan yang mengatakan Adlin turut bertindak sebagai 'mastermind' dan melindungi pihak tertentu adalah khabar angin yang masih dalam siasatan pihak polis.

"Buat masa sekarang segala tuduhan yang tersebar di media sosial adalah sekadar khabar angin.

"Ada penglibatan atau pun tidak itu biar pihak polis yang tentukan kerana mereka masih menjalankan siasatan," katanya.

Adlin Aman Ramlie

Artikel Sebelum

Salena Gomez Tiba Di KL

Artikel Lain