suria

Sukar Promosi Filem, Artis Malaysia Paling Sibuk Di Dunia - A Razak Mohaideen

Prof. Datuk A Razak Mohaideen

SHAH ALAM: Pengarah filem Profesor Datuk A. Razak Mohaideen melahirkan rasa kesal terhadap segelintir artis popular tanah air kerana kurang memberi kerjasama dalam mempromosikan sesebuah filem diterbitkan.

A. Razak berkata, meskipun diberikan notis selama tiga bulan namun mereka sukar untuk memberi kerjasama dalam menjayakan sesebuah promosi yang sudah dirancang lebih awal.

"Artis di Malaysia ini merupakan artis paling sibuk di dunia kerana mereka tidak mempunyai masa untuk menghadiri sesebuah promosi yang hendak dilakukan meskipun telah diberi notis awal selama tiga bulan.

"Ini bukan kali pertama masalah sebegini terjadi kerana saya merasakan semua pengarah dan penerbit filem juga mengalami masalah sama dalam mendapatkan kerjasama daripada para pelakon untuk melakukan promosi," katanya kepada mStar Online.

A. Razak ditemui pada majlis berbuka puasa bersama pelakon Anak Mami Nasi Kandaq dan anak-anak yatim Rumah Penyayang Hembusan Kasturi, di Dewan Bestari, Intekma Resort & Convention Centre, di sini pada Selasa.

Turut hadir pada majlis itu ialah Sheila Mambo, Ezzaty Abdullah, Amylia Nastasha Aziz, Elisya Sandha, Azhari Zain dan Azmeer.

Filem Anak Mami Nasi Kandaq akan menemui penonton pada Hari Raya Aidilfitri pertama.

Tambah Razak,sebagai seorang pelakon, mereka harus memberi kerjasama dalam mempromosikan setiap filem yang dilakonkan supaya dapat menarik minat penonton untuk menonton.

"Saya juga tidak salahkan mereka kerana mungkin mempunyai banyak komitmen yang lain tetapi sebagai seorang pelakon, mereka harus juga mempunyai masa untuk melakukan promosi dalam menjayakan sesebuah filem.

"Jadi sukar untuk kami melakukan siri jelajah dalam mempromosikan sesebuah filem kerana tiada penglibatan daripada para pelakon itu sendiri," katanya.

Dalam pada itu bercerita mengenai filem Anak Mami Nasi Kandaq yang bakal ditayangkan pada Hari Raya Aidilfitri nanti beliau berkata ini merupakan rangkaian filem anak mami ke-7 hasil arahannya setelah hampir 10 tahun sejak filem terakhirnya Nana Tanjung 2.

Tambahnya, filem ini masih mengekalkan keadaan masyarakat, adat, budaya 'anak mami' serta mengekalkan genre komedi berbentuk satira dan mengangkat tema kekeluargaan.

Filem ini mengisahkan seorang pengusaha restoran nasi kandar, iaitu Mamu Nizam yang telah lama duda bergelut untuk melariskan perniagaannya yang mundur.

Dengan bantuan 5 anak-anaknya, dia berjaya bangkit semula dan kemudian jatuh hati dengan seorang pembantu wanita (lakonan Qi Razali).

Namun apa yang Mamu tidak tahu, Faridah (Qi) mempunyai agenda tersendiri bagi mengorek rahsia restorannya. Keadaan bertambah kecoh apabila anaknya yang bernama Fitri mengetahui rahsia besar Faridah itu secara tidak sengaja.

Filem ini turut dibarisi oleh Fasha Sandha, Chik Pak Man Telo, Maria Farida, Nur Risteena Munim, Ezzaty Abdullah, Amylia Nastasha Aziz dan Elisya Sandha.

A Razak Mohaideen

Artikel Lain