suria

Sharifah Shahira Buka Agensi Pelancongan

Shira bersama peminat ketika bercuti ke Vietnam baru-baru ini. Foto Instagram @enjoys_traveltours

PETALING JAYA: Pelakon Sharifah Shahira atau Shira mengorak setapak dalam kariernya apabila membuka agensi pelancongan iaiut Enjoys Travels & Tours sejak beberapa bulan lalu.

Shira atau nama sebenarnya Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar, 41, berkata, selain destinasi popular dia turut menawarkan pakej pelancongan pendidikan khas untuk pelajar sekolah.

"Agensi pelancongan yang saya buka bersama rakan kongsi ini berbeza sedikit kerana kami turut menawarkan pakej pelancongan pendidikan untuk kanak-kanak ke destinasi popular.

"Pakej berkenaan bukan sahaja untuk melancong tetapi turut membawa mereka melawat ke sekolah untuk melihat cara pelajar di luar negara belajar selain melawat tempat yang dapat menambahkan ilmu," katanya kepada mStar Online.

Tambah Shira, agensi yang dibuka bersama rakan kongsinya itu turut menawarkan pakej berpatutan ke pelbagai destinasi popular.

Dalam pada itu, Shira berkata, buat permulaan Enjoys Travels & Tours sudah pun membawa pelancong ke beberapa negara seperti Perth, Australia, Vietnam dan Seoul, Korea Selatan.


Shira kini sedang hamil anak kelimanya. 

Malah katanya, pada masa hadapan mereka bercadang untuk membuka pakej Umrah kepada pelanggan yang turut mendapat permintaan tinggi.

"Alhamdulillah setakat beberapa bulan kami beroperasi sudah beberapa lawatan diadakan ke destinasi popular.

"Insya-Allah jika ada rezeki kami akan perkembangkan lagi destinasi-destinasi untuk pelanggan termasuk Umrah dan Eropah," ujarnya.

Sementara itu, Shira berkata, dia memilih bidang perniagaan itu kerana minatnya yang gemar melancong ke luar negara.

Malah kata Shira, dia sendiri seronok dapat membawa ahli rombongan yang mengambil pakej dengan agensinya ke luar negara sekiranya ada masa terluang.

"Saya memang suka berjalan dan apabila buka agensi pelancongan sendiri lagi panjang langkah saya ke luar negara.

"Memang seronok dapat membawa ahli rombongan berjalan-jalan terutamanya ke lokasi beli-belah," katanya.

Sharifah Shahira, Shira

Artikel Lain