suria

Finalis APO2016: Caliph Buskers Komen Dibayar Murah KRU

Caliph Busker nafi dibayar murah.

PETALING JAYA: Kumpulan Caliph Buskers menjelaskan tiada sebarang isu tidak puas hati berkaitan bayaran daripada pihak KRU Music pada setiap persembahan yang mereka lakukan.

Vokalisnya Azmi atau nama sebenarnya Khairul Azmi Saat, 29, berkata, harga yang ditetapkan pada setiap persembahan adalah atas persetujuan kedua-dua belah pihak.

"Saya terkejut juga diberitahu tentang gosip kami terima bayaran sedikit iaitu RM800 sahaja seorang, sebenarnya Caliph Buskers bergerak sendiri dan bukan di bawah pengurusan KRU Music.

"Namun jika tawaran persembahan datang daripada syarikat terbabit selalunya mereka akan bertanya kepada kami dahulu harga yang ditawarkan dan sebarang harga yang mereka bayar kepada kami adalah atas persetujuan kami bersama," ujarnya kepada mStar Online.

Azmi berkata demikian ketika diminta mengulas tentang gosip akhbar mingguan bahawa syarikat KRU Music memberi bayaran sedikit kepada kumpulan berkenaan.

Bagaimanapun, Azmi berkata, jumlah RM800 yang diberikan oleh syarikat terbabit pada setiap persembahan yang dilakukan adalah tidak benar sama sekali.

Caliph Buskers turut dianggotai oleh Fendy Alun, 25, Mohd. Zaki Ismail, 37, Nirwan Zainal Abidin, 27, Nor Nadira Rubiana, 25, dan Syahzmeen Abdul Rahman, 25.

Sementara itu, bercakap tentang perkembangan Caliph Buskers, Azmi berkata, mereka sudah keluar dengan single kedua berjudul Kaulah Dia.

Azmi berkata, lagu ciptaan komposer Edry Abdul Halim itu mengisahkan tentang cinta suami-isteri sehingga ke akhir hayat.

"Lagu baru ini bukan lagu berunsur ketuhanan sebaliknya kami ingin mendekati golongan muda dengan lagu cinta pula.

"Lagu ini kami tujukan kepada pasangan suami isteri yang malu untuk melafazkan kata-kata cinta setelah lama berumah tangga," ujarnya.

Sementara itu, Caliph Buskers yang tercalon dalam kategori Grup Pilihan Online di Anugerah Pilihan Online (APO2016) berkata, mereka mempunyai strategi sendiri dalam meraih undi.

"Kami ada strategi sendiri untuk meminta peminat undi kami di APO2106. Biasanya ketika kami busking kami akian minta pendengar pilih lagu apa yang mereka mahu dengar.

"Selepas kami nyanyi lagu yang mereka minta itu kami minta mereka jangan lupa undi kami di APO2016," ujarnya.

Azmi berkata, mereka juga dalam perancangan untuk menubuhkan kelab peminat sendiri tidak lama lagi.

Caliph Buskers

Artikel Lain