suria

Finalis APO2016: Sufi Cemas Diekori Peminat

Sufi 2015 tidak sangka bersaing dengan artis ternama.
PETALING JAYA: Penyanyi Sufi mendedahkan dia diekori oleh individu tidak dikenali minggu lalu ketika dalam perjalanan ke lapangan terbang.

Sufi atau nama sebenarnya Mohammad Sufie Rashid, 25, berkata, dia meyedari perkara itu selepas terdapat kereta yang sama mengekori kenderaan yang dinaikinya bermula di kawasan kediamannya di Sungai Besi sehingga sampai di lapangan terbang.

"Sebenarnya saya ada beberapa kali pengalaman diekori oleh peminat ada lelaki dan ada perempuan, paling terbaru minggu lalu saya sedar ada kereta mengekori saya dari kawasan rumah sehingga di lapangan terbang.

"Pada awalnya memang saya agak bimbang dan fikir yang bukan-bukan, namun individu tersebut datang kepada saya dan menegur untuk bergambar dan berborak-borak sahaja," ujarnya kepada mStar Online.


Sufi tidak sangka dapat hadiah mahal daripada peminat.

Sufi berkata demikian ketika diminta mengulas tentang pengalamannya sejak bergelar artis selepas menjuarai program realiti Akademi Fantasia 2015 pada Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, Sufi berkata, perkara itu tidak mengancam keselamatannya berikutan dia yakin mereka tidak berniat jahat.

Sementara itu, ditanya tentang barangan paling mahal yang pernah diterimanya, Sufi berkata, dia pernah mendapat jam jenama Tissot daripada peminat.

"Saya terkejut ada peminat yang sanggup beri hadiah jam tangan mahal kepada saya, memang 'seram' bila tengok harga cecah ribuan ringgit.

"Namun saya berterima kasih kepada individu yang beri jam berkenaan, saya tahu dia ada bertanya di laman sosial tentang jam apa yang paling saya inginkan. Saya jawab secara suka-suka sahaja tidak mengharapkan mereka untuk beri hadiah," ujarnya.

Dalam pada itu, bercakap tentang pencalonannya sebagai Penyanyi Lelaki Terhebat,  Anugerah Pilihan Online (APO2016), Sufi berkata, dia bersyukur dapat bersaing dengan penyanyi-penyanyi lelaki popular lain.

Katanya, dia turut berasa kerdil dan tidak mengharapkan kemenangan berikutan pesaing yang juga merupakan idola-idolanya dalam bidang nyanyian.

"Alhamdulillah saya bersyukur kerana dapat tersenarai sebagai finalis kategori Penyanyi Lelaki Terhebat, APO2016. Saya anggap ini satu penghormatan besar kerana dapat bersaing dengan semua penyanyi lelaki yang memang mempunyai nama kuat dalam industri seni suara," ujarnya.

Sufi AF 2015

Artikel Lain