suria

Dazrin Belum Sedia Bercinta Selepas Putus Tunang Amyra Rosli

Dazrin yakin sudah mampu kawal emosi.

PETALING JAYA: Pelakon Dazrin Kamarudin memberitahu hatinya masih belum terbuka untuk menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana wanita selepas kegagalan pertunangannya dengan aktres Amyra Rosli.

Dazrin, 28, berkata, keadaan emosi yang baharu sahaja pulih selepas majlis pernikahan dengan pelakon itu dibatalkan kira-kira lebih setahun lalu membuatkan dia sendiri belum bersedia mencari pengganti.

"Selepas kegagalan hubungan dahulu hati saya belum terbuka lagi, pernah juga mencuba untuk mengenali wanita lain tetapi entah mengapa tidak menjadi.

"Nantilah jika sudah benar-benar stabil dan kerjaya saya sudah kembali seperti dahulu mungkin saya lebih yakin untuk jaga anak orang," ujarnya kepada mStar Online.

Dazrin yang merancang untuk melangsungkan perkahwinan bersama pelakon Amyra Rosli pada 8 Ogos 2014 terpaksa membatalkan hasrat berkenaan pada saat-saat akhir kerana masalah yang dirahsiakan.  



Saat-saat indah Dazrin dan Amyra.

Tambahnya, tempoh masa setahun setenggah selepas insiden pahit itu membuatkan dirinya berada dalam keadaan tertekan dan hilang keyakinan untuk berhadapan dengan masyarakat.

"Itu pengalaman paling pahit yang mana membuatkan saya seperti berada di alam sendiri yang enggan bertemu masyarakat. Boleh dikatakan saya berada dalam keadaan tekanan perasaan yang teruk.

"Saya banyak habiskan masa sepanjang hari duduk sahaja di rumah dan saya juga bela tiga ekor kucing jalanan. Alhamdulillah ternyata ia membantu memulihkan tekanan yang saya hadapi, biarpun sebelum ini saya tidak pernah bela kucing," ujarnya.

Selain itu, tambah Dazrin, dalam tempoh merawat dan memulihkan emosinya itu juga, dia banyak menolak tawaran-tawaran berlakon kerana takut tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya.

"Saya ambil keputusan untuk berhenti sekejap kerana kalau saya teruskan dengan emosi yang tidak stabil akan menyusahkan produksi.

"Saya tidak boleh fokus dan kalau saya teruskan kerjaya seni sudah tentu akan menjejaskan reputasi saya sendiri," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Dazrin bakal membuat kemunculan semula dalam program realiti terbaharu Gempak Superstar bermula 10 April ini di Astro Ria dan Ria HD.

Antara peserta lelaki lain yang terlibat adalah Nazim Othman, Sofi Jikan, Ryzal Jaafar, Dazrin Kamarudin dan Arja Lee.

Lima peserta pelakon wanita yang terlibat adalah Tasha Shilla, Raja Ilya, Izreen Azminda, Sherry Ibrahim dan Siti Elizad.

Dazrin Kamarudin, Amyra Rosli

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain