suria

Hunny Madu Gemar Ambil Risiko Dalam Berfesyen

Hunny Madu
PETALING JAYA: Penyanyi Hunny Madu menyifatkan dirinya seorang yang gemar mengambil risiko dalam tampil mengayakan sesuatu fesyen untuk digayakan di majlis-majlis hiburan.

Hunny atau nama sebenarnya Hani Farhana Mohd Hatim, 32, berkata, fesyen yang digayakannya sering berubah mengikut keadaan dan trend semasa.

"Saya suka ambil risiko dalam berfesyen sebab itu fesyen saya ada masanya agak pelik dan berubah-ubah hingga kadang-kadang saya pun tertanya kenapa saya berfesyen begitu bila lihat gambar lama. 

"Bagi saya mengayakan fesyen ini sesuatu yang sangat menyeronokkan dan saya suka mencuba sesuatu yang baru," ujarnya kepada mStar Online. 

Biarpun Hunny mengakui fesyen yang digayakannya adakala mendapat kritikan masyarakat, namun dia menganggap ia adalah sesuatu yang subjektif.

"Saya akui ada yang tidak suka dan kritik apa yang saya pakai, tapi pada saya itu terpulang kerana setiap orang ada pendapat masing-masing," ujarnya.

Sementara itu, Hunny turut terharu apabila baju rekaan pereka fesyen terkenal Linda Rahim yang digayakan dalam satu majlis anugerah tahun lalu mendapat pujian pengkritik fesyen dunia Giuliana Rancic dalam program Pak Nil Goes To Hollywood baru-baru ini.

Kata Hunny, dia juga berterima kasih kepada pengacara Aznil Haji Nawawi yang memilih gambarnya untuk dibincangkan bersama pengkritik fesyen terkenal itu.

"Sudah tentu saya berasa gembira dan bangga kerana pakaian itu rekaan pereka fesyen tempatan iaitu Linda Rahim. Saya tidak saya baju itu mendapat pujian dan lebih terharu dalam banyak-banyak artis Aznil memilih gambar saya untuk dibawa ke sana," ujarnya.
Hunny Madu

Artikel Lain