suria

Finas Beri Jaminan, Skim Wajib Tayang Tidak Akan Dimansuhkan

Dari kiri; Zahrin Aris, Datuk Yusof Haslam dan Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman.

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) memberi jaminan kewujudan Skim Wajib Tayang (SWT) tidak akan dimansuhkan namun akan melalui beberapa proses penambahbaikkan untuk menjaga kualiti filem sekali gus mampu memberi impak positif kepada masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa SWT, Zahrin Aris berkata, ketika ini peranan agensi itu masih relevan untuk kepentingan penggiat filem dan tiada usaha untuk ia dimansuhkan.

“Penambahbaikan yang dimaksudkan merangkumi saiz pawagam, penambahan jumlah tayangan dalam sehari dan syarat peraturan kehadiran jumlah penonton yang berkuatkuasa serta-merta,” katanya kepada mStar Online.

Beliau ditemui pada sidang media mengenai maklum balas Skim Wajib Tayang, yang diadakan di Pitching Centre, di sini pada Selasa.

Tambahnya lagi, dalam hal ini pihak penerbit diberi pilihan bagi memilih saiz pawagam samada besar atau kecil untuk tayangan pertama filem terbaharu mereka.


Sidang media bersama wartawan mengenai Skim Wajib tayang.

“Dalam proses penambahbaikan Skim Wajib Tayang kali ini, kita juga turut menaikkan jumlah tayangan daripada empat kepada lima tayangan sehari. Ini pastinya memberi khabar gembira kepada penggiat dan pengeluar filem di luar sana.

Bagaimanapun katanya, pada waktu yang sama sesebuah filem itu haruslah perlu mencapai sekurang-kurangnya 15 peratus kutipan dalam tempoh empat hari tayangan.

“Bagi filem yang tidak mencapai piawaian itu, Finas akan mewujudkan panel kedua yang terdiri daripada orang awam dan juri profesional.

"Di sini, kita mengalu-alukan lebih ramai pengkritik filem yang  mungkin terdiri daripada golongan mahasiswa selain daripada pihak wartawan sebagai ahli panel bermula 1 Julai depan agar tidak wujud isu filem tempatan dianaktirikan di tanah air sendiri,” katanya.

Tambah Zahrin lagi, perkara ini akan memberi peluang kepada sesebuah filem yang tidak mencapai piawaian tetapi masih diberi peluang dan kelonggaran untuk terus ditayangkan di pawagam.

SWT berperanan mempertimbangkan dan menerima mana-mana karya tempatan dan usaha sama untuk ditayangkan secara wajib di panggung wayang mengikut peraturan Finas. 

Finas

Artikel Lain