suria

APO2016 Uji Sokongan Peminat Di Era Digital - Indah Ruhaila

Indah Ruhaila tercalon dalam kategori Penyanyi Wanita Terbaik Pilihan Online Anugerah Pilih Online (APO 2016).



PETALING JAYA: Penyanyi Indah Ruhaila menyifatkan penganjuran Anugerah Pilihan Online 2016 (APO 2016) dapat menguji sejauh mana populariti seseorang artis menerusi medium digital.

Indah atau nama sebenarnya Siti Ruhailah Hussin, 29, berkata, peranan laman sosial seperti Facebook dan Instagram menjadi medium penting dalam memperluaskan pengaruh dan ia banyak membantu menaikkan karier seseorang artis.

"Pengajuran anugerah seperti APO2016 dapat membantu artis baharu seperti saya untuk melihat di mana kedudukan saya sekarang sama ada masih berada di tahap sama atau sebaliknya.

"Sekarang adalah zaman digital dan sebagai artis kita tidak boleh lagi berada tahap lama dan perlu seiring dengan perubahan teknologi," katanya kepada mStar Online.

Acara terbitan Kumpulan Media Star Berhad itu buat julung kalinya diadakan bagi mengiktiraf penggiat pelbagai industri yang aktif menerusi dunia digital.

Indah bakal muncul dengan single terbaharu tidak lama lagi. 

APO2016 yang dikendalikan portal berita mStar Online dan Suria FM dengan tajaan produk kosmetik Dnars memperkenalkan 18 kategori membabitkan sembilan dalam bidang hiburan, tiga kategori sukan dan lima lagi kategori gaya hidup.

Mengulas mengenai pencalonannya menerusi kategori Penyanyi Wanita Terbaik Pilihan Online, Indah berkata, dia gembira dengan berita berkenaan dan akan menggunakan laman sosialnya untuk mempromosikan APO2016 selain mengajak peminat mengundinya.

"Dapat tercalon pun adalah berita mengujakan untuk saya tetapi kalah atau menang itu adat bertanding. Namun sebagai artis saya akan mengajak peminat untuk mengundi saya," katanya.

Dalam perkembangan lain, bekas peserta program Akademi Fantasia 2013 berkata dia kini sedang dalam proses pemilihan single terbaharunya yang dijangka akan dilancarkan pada pertengahan tahun ini.

Pencalonan dan pengudian secara dalam talian boleh dibuat dengan melayari laman web khas iaitu http://apo.mstar.com.my

Sebarang perkembangan terkini mengenai APO2016 juga boleh diikuti di laman Facebook http://www.facebook.com/AnugerahPilihanOnline

Anugerah yang bertemakan Glam Digital itu bakal bersiaran secara langsung di TV2 pada 30 April depan.

Indah Ruhaila, APO 2016

Artikel Lain