suria

Rosyam Nor Tidak Lokek Berbelanja Jaga Imej

Rosyam sanggup berhabis untuk memastikan penampilannya sebagai seorang selebriti terjaga.

PETALING JAYA: Penerbit dan pelakon Datuk Rosyam Nor tidak lokek untuk berbelanja mewah bagi memastikan imejnya sebagai selebriti sentiasa terjaga.

Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 49, berkata, dengan kehadiran wajah-wajah baharu dalam industri lakonan dia perlu mementingkan imejnya agar kekal relevan.

"Jika diikutkan ramai pelakon lelaki seusia saya sudah tidak aktif, yang tinggal saya seorang sahaja.

"Atas sebab itu untuk terus kekal saya tidak boleh kedekut berbelanja bagi menjaga imej kerana ia sangat penting dalam menjaga 'jenama' sebagai pelakon.

"Sekiranya tampil dalam sesebuah program atau majlis, saya akan memakai pakaian baharu dengan fesyen terkini dan bergaya," katanya kepada mStar Online.

Tambah Rosyam, dia tidak melihat usianya yang hampir mencecah 50 tahun sebagai halangan untuk berfesyen namun harus bijak memilih pakaian yang sesuai dengan personaliti diri masing-masing.

Rosyam Nor tidak melihat usia sebagai halangan untuk berfesyen.

"Saya memang gemar berfesyen dan apa yang anak muda sekarang pakai saya sudah pakai sebelum ini. Usia itu bukan halangan asalkan tidak melampaui batas.

"Selain itu sebagai seorang selebriti, saya juga perlu menjaga bentuk tubuh dan kesihatan," jelasnya.

Dalam pada itu, Rosyam berkata, meskipun usianya hampir mencecah 50 tahun namun dia bersyukur masih menjadi buruan penerbit dan pengarah filem yang menawarkan watak utama kepadanya.

Malah katanya, tahun ini dia sudah pun menerima sebanyak enam tawaran filem yang mana dua daripadanya iaitu Special Branch dan Tailong sudah pun menjalani penggambaran.

"Saya masih menunggu empat lagi tarikh penggambaran. Alhamdulillah rezeki saya masih ada malah siapa menyangka pada usia sekarang masih diberikan peranan utama.

"Usia bukan faktor untuk tidak terus berada di atas. Asalkan ada kemahuan dan usaha ia bukan satu halangan," ujarnya.

Sementara itu, Rosyam berkata, peluang berlakon disamping hero filem Tamil, Rajinikanth menerusi filem Kabali turut membuka matanya tentang kepentingan menjaga imej selepas melihat aura pelakon itu yang cukup kuat meskipun usianya sudah mencecah 66 tahun.

"Populariti Rajinikanth memang tiada tandingan walaupun sudah berusia 66 tahun dia tetap menjadi pilihan utama penerbit selain sering menjadi buruan peminat ke mana sahaja beliau pergi.

"Saya kagum dengannya dan tidak mustahil sekiranya kita bersungguh-sungguh dalam kerja selain menjaga 'brand' sebagai pelakon, penerimaan peminat itu akan berpanjangan," katanya.

Rosyam Nor

Artikel Lain