suria

Siapa Ceroboh Lagu 'Payung' Daly Filsuf Di YouTube?

Daly Filsuf
PETALING JAYA: Penyanyi rap Daly Filsuf terkejut apabila lirik video dan trailer lagu baharunya Payung yang dimuat naik di laman YouTube dipadam secara tiba-tiba oleh pihak tertentu.

Daly atau nama sebenarnya, Fadali Mohd Darif, 43, berkata, perkara tersebut disedari sejak pagi Rabu apabila kedua-dua video untuk promosi lagu itu sudah tidak berada dalam akaun YouTube miliknya.

"Saya muat naik lirik video dan trailer lagu Payung beberapa minggu lalu untuk promosi dan pagi tadi saya sedar yang kedua-duanya sudah dipadam oleh pihak lain.

"Saya tidak tahu siapa yang buat dan mungkin juga akaun saya digodam dan dipadam oleh pendengar yang tidak suka dengan lagu tersebut," ujarnya kepada mStar Online.

Dali berkata demikian ketika diminta mengulas tentang lagu baharunya Payung yang kini dimainkan di radio-radio tempatan.

Dalam pada itu, ditanya tentang sambutan baik daripada pendengar tentang lagu berkenaan, Daly berkata, dia turut menerima komen negatif daripada beberapa pihak yang menggelar lagu berkenaan sebagai lagu sampah.

Namun dia tidak berkecil hati dan menjadikan perkara itu sebagai pembakar semangat untuk dia turus mencipta lagu.

Kata Daly, pendengar yang memberi komen negatif  tidak memahami maksud sebenar dan apa pengajaran yang cuba disampaikan dalam lagu berkenaan.

"Banyak reaksi yang saya dapat untuk lagu ini, ada yang positif dan ada juga yang negatif. Segelintirnya memberi komen menganggap lagu ini sampah dan senang untuk dibuat.

"Bagi saya semua orang berhak untuk beri pandangan dan saya juga terima kritikan itu, namun ia sesuatu yang subjiktif untuk mengadili lagu tersebut baik atau tidak," ujarnya.

Bercerita tentang lagu tersebut, Daly berkata, dia sendiri terkejut apabila lagu Payung itu mendapat sambutan lebih cepat daripada yang dijangka.

Bagaimanapun dia sudah bersedia dengan single lain, seandai lagu tersebut hanya mampu bertahan beberapa bulan sahaja dimainkan.

"Saya buat lagu ini pada Januari dan tidak sangka Februari sahaja radio sudah mainkan, lagu-lagu lain sebelum ini ambil masa agak lama untuk dapat perhatian radio.

"Secara jujurnya, saya mengkaji apa sebenarnya trend lagu yang ada di radio sekarang dan lagu bercorak komedi seperti ini sudah lama tiada, jadi saya cuba mengisi kekosongan itu. Alhamdulillah, pertaruhan saya itu berjaya juga," ujarnya.
Daly Filsuf, Payung

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain