suria

Kamal Adli Terkilan Digugurkan Daripada Filem Sekuel 'Abang Long Fadil'

Kamal Adli.

PETALING JAYA: Pelakon Kamal Adli berasa terkilan apabila penerbit filem Abang Long Fadil iaitu Datuk Yusof Haslam mengambil keputusan untuk menggugurkan namanya terlibat dengan karya sekuel itu.

Kamal berasa kecewa memandangkan dia sudah mengosongkan slot jadual penggambaran sejak setahun lalu dan tidak menerima sebarang tawaran lakonan pada tempoh berkenaan.

"Tipulah kalau saya kata saya ok. Jujurnya saya kecewa keraba saya sudah 'lock' tarikh penggambaran setahun lalu.

"Tambah pula saya bersenam dan membuat latihan kecergasan untuk tampil bertenaga dalam filem berkenaan. Malah saya sukakan karakter yang diberi itu," katanya kepada mStar Online.

Pada Khamis, Yusof yang mewakili syarikat penerbitannya iaitu Skop Production mengesahkan di sebuah portal bahawa dia sudah menggugurkan nama Kamal bagi filem sekuel Abang Long Fadil.

Pengguguran itu dibuat bagi mengelakkan konflik antara Kamal dan Zizan sepanjang penggambaran berlangsung.

Difahamkan, kedua-dua selebriti itu mempunyai konflik antara satu sama lain gara-gara perasaan iri hati Zizan yang berhubungan rapat dengan bekas kekasihnya, Emma Maembong.

Sementara itu, Kamal menyifatkan penggugurannya dalam filem berkenaan mempunyai hikmah tersendiri.

"Saya anggap perkara itu tidak ada rezeki dan tidak mahu bercerita panjang.

"Lebih baik saya fikirkan masa depan dan kerja-kerja lain yang akan dilaksanakan. Walaupun kecewa, saya cuba mengambil pendekatan untuk berfikiran lebih positif" tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Kamal bakal muncul menerusi filem Apartment dan Isteri Untuk Dijual pada Disember ini.

Kamal Adli, Zizan, Abang Long Fadil

Artikel Sebelum

Artikel Lain