suria

Pengarah Ralat Harun Salim Bachik Tidak Sempat Tonton 'Jejak Warriors'

Khairul Fahmi Che Mat (tengah) bersama teman-teman bola sepaknya yang turut terlibat dalam Jejak Warriors. FOTO: IZZRAFIQ ALIAS
PETALING JAYA: Pengarah filem Jejak Warriors iaitu Saw Teong Hin berasa ralat apabila salah seorang pelakonnya, Allahyarham Harun Salim Bachik  tidak berkesempatan menonton hasil lakonanya itu.

Justeru itu, Teong Hin  ingin mendedikasikan fiem berkenaan kepada Harun yang meninggal  dunia selepas rebah di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol di Bukit Merah, Perak pada 8 Mac lalu.

Saw Teong Hin

"Walaupun dia (Allahyarham Harun) sudah pergi, tetapi semangatnya tetap bersama kami.

"Jejak Warrior merupakan filem ketiga kami bekerjasama dan tidak sangka ia adalah yang terakhir.

"Dia juga telah meninggalkan seni lakonan yang sangat mantap. Saya bersama produksi yang lain mahu mendedikasikan filem ini kepada Harun," katanya.

Teong Hin ditemui pada majlis pra tonton filem Jejak Warriors di Cathay Cineplex e@Curve di sini pada Khamis.

Barisan pelakon filem itu ialah Nadiya Nissa, Pekin Ibrahim dan Mohd Aliff Firdaus.

Turut serta pemain bola sepak pasukan The Red Warriors iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Wan Zack Haikal Wan Nor, Mohd Fitri Omar, Ahmad Fakri Saarani dan Wan Zaharulnizam yang turut hadir pada majlis tersebut.

SILA KLIK: Harun Salim Bachik Meninggal Dunia, Rebah Di R&R

Sementara itu, Teong Hin berkata, walaupun bukan seorang peminat tegar bola sepak, olahan skrip yang ditulis Alfie Palerno membuatkan dia mahu menjayakan karya tersebut.

Barisan pelakon Jejak Warriors.
"Filem-filem bola sepak yang pernah saya tonton selama ini selalunya tertumpu pada kisah individu atau sepasukan yang mahu mencapai kemenangan di padang atau dalam kehidupan harian.

"Jarang sekali saya lihat ada filem yang menyentuk semangat dan kesetiaan peminat terhadap kumpulan pemain bola.

"Saya percaya naskhah filem ini memberi kelainan sekali gus dapat menarik peminat menonton filem ini," ujarnya.

Jejak Warriors mengisahkan penggembaraan seorang remaja, Wan Raja untuk berjumpa dengan pasukan bola sepak pujaannya iaitu The Red Warriors.

Bapa Wan Raja adalah seorang penyokong nombor satu pasukan itu sehinggalah satu kemalangan berlaku yang telah menukar kehidupan keluarganya.

Filem terbitan U2 Media dan The Red Warriors ini bakal ditayangkan pada 27 Ogos nanti.

Artikel Lain