suria

Tiada Batasan Siti Saleha Lakonkan Adegan Intim

Barisan pelakon Cinta Paling Agung iaitu Siti Saleha, Aaron Aziz, Shahrol Nizam dan Mia Sara.
PETALING JAYA: Pelakon Siti Saleha memberitahu dia tidak pernah meletakkan sebarang syarat atau batas ketika melakonkan adegan intim dalam mana-mana drama lakonannya.

Siti Saleha, 25, berkata, apa yang dilakukannya ketika di lokasi penggambaran hanya sekadar lakonan semata-mata dan ia adalah seperti yang diminta pengarah.

"Setakat ini saya hanya beri lakonan seperti apa yang diminta pengarah dan tidak ada bataskan apa-apa.

"Saya harap orang ramai faham dengan situasi itu dan tidak menghentam saya balik. Apa yang dipaparkan dalam drama itu hanya lakonan sahaja dan kami tidak buat apa-apa pun, malah itu semua di hadapan semua krew produksi," ujarnya kepada mStar Online.

Siti Saleha berkata demikian ketika diminta mengulas tentang adegan berpelukan yang mendapat kritikan penonton kerana dianggap tidak lagi wajar.

Malah, dalam filem televisyen (FTV) Cinta Paling Agung lakonannya bersama pelakon Aaron Aziz turut mempunyai adegan berpelukan di atas katil ketika babak malam pertama perkahwinan mereka.

Siti Saleha.
Siti Saleha

Filem tayangan Astro First Eksklusif itu bakal disiarkan sempena Hari Raya Aidilfitri iaitu pada Jumaat ini.

Bagaimanapun, Siti Saleha berkata, dia tetap menghormati pasangan gandingannya seperti Aaron sebagai seorang lelaki yang sudah beristeri.

Sementara itu, Siti Saleha berkata, sepanjang penggambaran FTV tersebut, banyak pengajaran yang diperoleh terutama dalam hal berkaitan pernikahan dan poligami.

"Sebagai perempuan sudah tentu saya tidak mahu berkongsi kasih dan berpoligami. Apa yang saya lihat lelaki banyak menggunakan alasan agama membenarkan poligami untuk berkahwin lain.

"Pada saya jika seseorang lelaki mahu berpoligami, mereka perlu berlaku adil dan tidak menyakitkan perasaan pasangan mereka. Banyak pengajaran yang saya belajar ketika penggambaran cerita ini yang bagus untuk masa hadapan saya," katanya.

Bercerita tentang FTV tersebut juga, Siti Saleha berkata, dia kurang berpuas hati dengan babak penamat cerita tersebut yang berbeza daripada apa yang dirakamkan sewaktu penggambaran.

Katanya, babak akhir dalam skrip tersebut ialah watak yang dibawanya meninggal dunia akibat kemalangan.

"Sebenarnya, babak penamat cerita ini lain tetapi ia tidak dipertontonkan pada penonton. Sejujurnya, saya lebih suka babak penamat tersebut kerana lebih dramatik tetapi mungkin pengarah ada pandangannya tersendiri," katanya.

Cinta Paling Agung mengisahkan Amyza dan suaminya Khairi yang menjalani kehidupan bahagia bersama anak tunggal mereka. Bagaimanapun, perkahwinan selama sembilan tahun mereka diuji dengan kehadiran orang ketiga.

Konflik tercetus apabia Khairi berjumpa dan jatuh cinta dengan seorang wanita bernama Dewi lalu meminta izin daripada Amyza untuk mengahwini Dewi.

Biarpun kecewa dengan kecurangan Khairi, Amyza tetap berusaha mempertahankan rumah tangganya. Dia melakukan pelbagai cara untuk mengekalkan hubungan rumah tangganya itu.

Cinta Paling Agung turut dilakonkan oleh Shahrol Nizam, Mia Sara Nasuha dan pelakon Indonesia Zaskya Ada Meca.
Siti Saleha

Artikel Lain