suria

Salwa Razak Tidak Cari Publisiti Papar Gambar Berbaju Pengantin

Salwa Razak
PETALING JAYA: Penyanyi Salwa Razak memberitahu tidak berniat mencari publisiti murahan dengan memuat naik fotonya menggayakan baju pengantin sambil menunjukan cincin di laman sosial baru-baru ini.

Salwa, 30, berkata, dia juga tidak bermaksud untuk mempermainkan orang ramai dan pengikut di Instagram seolah-olah sudah selesai acara akad nikah apabila meletakkan kapsyen "Alhamdulillah Selesai Akhirnya..." di gambar tersebut.

"Saya tidak bertujuan mencari publisiti murahan kerana sudah tiada cerita, tetapi saya buat perkara ini kerana saya sedang menjalani penggambaran drama terbaharu berjudul Singgahsana Cinta dan ia hanya untuk promosi drama tersebut sahaja.

"Ramai juga yang bertanya dan mengucapkan tahniah tetapi saya tidak membalasnya dan biarkan ia menjadi tanda tanya, biar mereka tahu sendiri nanti," ujarnya kepada mStar Online.

Gambar Salwa yang dikatakan cuba mereka cerita tentang perkahwinannya.


Salwa berkata demikian ketika diminta mengulas tentang gosip di ruangan pojok sebuah akhbar mingguan yang mengganggap tindakannya memuat naik gambar berpakaian pengantin adalah cuba mempermainkan orang ramai tentang dirinya.

Sementara itu, Salwa berkata, dia tidak menyangka perkara tersebut mendapat perhatian pengikut di laman sosial hingga mendapat lebih 700 like dan komen ucapan tahniah daripada peminat.

"Orang tahu tentang khabar angin yang tidak baik tentang diri saya dan mungkin mereka gembira bila sangka saya benar-benar berkahwin," ujarnya.

Bagaimanapun dia kini masih belum mempunyai teman lelaki untuk ke memasuki ke alam perkahwinan.

Tambah Salwa, khabar angin tentang dibela lelaki kaya kerana kehidupan mewah membuatkan ramai lelaki takut untuk mendekatinya.

"Ada juga beberapa lelaki yang mahu dekat dengan saya yang bertanya tentang sejauh mana kebenaran cerita-cerita itu, saya beritahu kepada mereka bahawa terpulang sama ada untuk percaya atau tidak.

"Selalunya bila sudah benar-benar rapat barulah mereka tahu tentang diri saya," ujarnya.

Salwa Razak

Artikel Lain