suria

'Pakaian Tradisional Tidak Wajar Diubah Keterlaluan' - Ryzal Jaafar

Ryzal tampil dengan jenama pakaiannya sendiri iaitu Arata by Ryzal.

PETALING JAYA: Pelakon Ryzal Jaafar berpendapat pakaian tradisional tidak sepatutnya diubah suai secara keterlaluan sehingga menghilangkan asal usul dan budaya yang sinonim dengan masyarakat Melayu.

Ryzal atau nama sebenarnya Mohd Shahrizal Jaafar, 33, berkata, pereka fesyen seharusnya mengambil kira pandangan masyarakat dan pembeli sebelum tampil dengan sesuatu rekaan terutamanya busana seperti baju Melayu dan baju kurung.

"Pada saya tidak salah untuk menghasilkan sesuatu yang berbeza kerana itulah bidang fesyen tetapi jangan keterlaluan seperti mana kita lihat yang menjadi viral di laman sosial baru-baru ini.

"Pakaian tradisional rasanya lebih baik cuba dikekalkan keaslian sedia ada tetapi dengan tambahan yang sesuai dan fleksibel agar tidak kelihatan keterlaluan," katanya kepada mStar Online.

Ryzal mengulas mengenai sesetengah pereka fesyen yang tampil dengan rekaan baju Melayu yang keterlaluan sehingga mendapat kritikan hebat daripada masyarakat di laman sosial.

Dalam pada itu, Ryzal yang turut tampil dengan koleksi kurta menerusi label Arata by Ryzal memberitahu terlebih dahulu melakukan kajian teliti selain cuba mengikut kehendak pasaran.

Ryzal optimis untuk mengembangkan jenama Arata dengan lebih meluas selepas ini.

Kata Ryzal, dia menghasilkan tujuh koleksi khas bersempena Aidilfitri dan kurta keluarannya itu boleh dipelbagaikan mengikut kesesuaian pemakai.

"Secara asasnya kurta tersebut boleh dijadikan baju Melayu atau dipakai secara kasual dengan seluar jean atau pun kain pelikat.

"Menerusi koleksi ini saya lebih menitikberatkan soal potongan, keselesaan selain pemilihan warna dan corak bersesuaian," jelasnya.

Tambah Ryzal, dia mendapat nama Arata tersebut ketika berkunjung ke Tokyo, Jepun baru-baru ini yang membawa maksud baharu dan segar.

"Ini adalah percubaan pertama saya dalam menghasilkan koleksi sendiri dan Alhamdulillah setakat ini sambutan amat baik.

"Malah selepas hari raya nanti saya bercadang untuk mengeluarkan lebih banyak rekaan terbaharu selain fokus kepada satu la jenama yang diusahakan bersama beberapa rakan artis iaitu Streetfrat," katanya. 

Pakaian tersebut yang dijual pada harga di antara RM229 hingga RM299 boleh didapati menerusi beberapa bazar terpilih dan Instagram @aratabyryzal.
Ryzal Jaafar, Arata by Ryzal.

Artikel Lain