suria

Foto Anak Di Laman Web Lucah, Bekas Suami Sudah Buat Laporan - Erra Fazira

Erra berharap pihak berkuasa bertindak segera menyekat laman web lucah khususnya membabitkan kanak-kanak. -foto AZLINA ABDULLAH

KUALA LUMPUR: Pelakon Erra Fazira memberitahu bekas suaminya iaitu Engku Emran Engku Zainal Abidin sudah mengambil tindakan dengan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selepas gambar anak mereka, Engku Alessya digunakan sebuah laman web lucah.

Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 41, berkata, Engku Emran sudah melaporkan perkara itu pada Khamis lalu agar tindakan sewajarnya segera dilakukan.

"Bapa Aleesya sudah ambil tindakan dan buat laporan di SKMM semalam (Khamis) dan kita lihatlah perkembangannya nanti. Saya harap laman web tersebut sudah disekat.

"Perkara ini serius apabila ada manusia-manusia yang sakit mental melibatkan kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa dalam aktiviti haram mereka," ujarnya kepada mStar Online pada pelancaran Santai Lebaran Fiesta 2015, di Istana Budaya, di sini Jumaat.

Erra berkata demikian ketika diminta mengulas tentang foto-foto anaknya Engku Aleesya, 6, dikesan menjadi mangsa di laman web lucah kanak-kanak.


Engku Emran dan anaknya, Engku Aleesya. Foto dari Instagram milik Engku Emran.

Selain Erra, anak pelawak Harith Iskander dan anak penyanyi Tomok turut menjadi mangsa.

Katanya, sebagai ibu sudah tentu dia berasa terkejut, kecewa dan marah apabila foto anaknya bersama kanak-kanak lain di eksploitasi oleh individu tidak bertanggungjawab.

Dalam pada itu, Erra percaya, pesalah yang melakukan perkara tersebut merupakan pesakit mental yang sentiasa berimaginasi buruk, biarpun kanak-kanak itu berpakaian lengkap.

"Perkara ini bukan sebab kita muat naik gambar-gambar yang seksi sahaja, kalau gambar kanak-kanak itu berpakaian lengkap sekalipun mereka (suspek)  ada imaginasi sendiri,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, pengajaran daripada perkara tersebut adalah untuk lebih berhati-hati dan pantau setiap gambar sebelum dimuat naik.

"Kita kongsi gambar dengan niat baik untuk berkongsi dengan peminat mengenai orang yang kita sayang. Kalau tak kongsi gambar anak nanti lain pula orang mengata.

"Jadi pengajaran di sini bukan saya sahaja tetapi orang lain juga perlu lebih berhati-hati. Saya sendiri tidak tahu dari mana mereka dapat gambar-gambar Aleesya itu dan sudah tentu bukan daripada saya," ujarnya.

Erra Fazira, Engku Emran

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain