suria

Remy Ishak Sahkan Sudah Ada Kekasih, Rancang Kahwin

Remy mengakui Roszaliza adalah wanita paling rapat dengannya. Foto RICKY LAI/The Star.

KUALA LUMPUR: Pelakon Remy Ishak akhirnya mengaku wanita yang sering dikaitkan dengannya sebelum ini iaitu Pengarah Urusan Roistz Labels, Roszaliza Yusof adalah teman wanitanya.

Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 33, bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai hubungan tersebut namun mengakui mengenali wanita itu sejak dua tahun lalu.

"Benar saya rapat dengannya sejak dua tahun lalu tetapi saya jarang bercakap mengenai soal cinta kerana ia terlalu peribadi buat saya.

"Saya pula memang seorang yang tidak suka menonjolkan sesuatu hubungan itu kerana bimbang nanti jadi fitnah tambahan pula masih belum ada ikatan yang sah," katanya.

Remy ditemui pada majlis sidang media Santai Lebaran Fiesta 2015 di Istana Budaya pada Khamis.

Roszaliza mengakui tertarik dengan Remy kerana sikap tanggungjawab lelaki berkenaan.

Acara jualan dan aktiviti seni itu bakal berlangsung di Laman Sari, Istana Budaya dari 25 Jun hingga 16 Julai depan.

Dalam pada itu, Remy menyangkal dakwaan kononnya Roszaliza, 32, seorang ibu tunggal berikutan wanita berkenaan sering dilihat bersama dua kanak-kanak.

Dedah Remy, kanak-kanak berkenaan iaitu Dania dan Damia masing-masing berusia tiga dan empat tahun adalah anak angkatnya yang dibela hampir dua tahun lalu.

"Dia bukan ibu tunggal seperti mana didakwa dan dua kanak-kanak tersebut adalah anak angkat saya dan apabila saya sibuk di lokasi penggambaran Roszaliza yang akan menjaga mereka.

"Mungkin kerana dia sentiasa dilihat bersama mereka orang ingat dia adalah ibu kepada kanak-kanak berkenaan," jelasnya.

Bercakap lanjut mengenai Dania dan Damia, Remy memberitahu dia mengambil keputusan untuk menjaga kanak-kanak itu selepas bapa mereka dipenjarakan dan mahu melihat mereka membesar dengan baik dan penuh kasih sayang.

"Mereka masih ada keluarga tetapi keadaan tidak mengizinkan kanak-kanak itu tinggal bersama keluarga dan saya ingin melihat mereka membesar seperti kanak-kanak lain.

Remy  (tengah) bersama Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani, Nad Zainal dan Sherry Alhadad selepas sidang media Santai Lebaran Fiesta 2015 di Istana Budaya.

"Setakat ini saya tiada masalah menjaga mereka dan seronok apabila melihat keletah Dania dan Damia. Malah mereka memanggil saya dengan nama 'Cikgu Daud'," ujarnya.

Sementara itu, Roszaliza yang turut hadir pada sidang media berkenaan turut mengakui dia dan Remy mempunyai hubungan istimewa dan merancang untuk berkahwin.

"Benar kami sedang berkawan dan tentang kahwin, Insya Allah memang ada perancangan tetapi semua itu kami serahkan kepada jodoh.

"Saya senang dengan Remy kerana dia adalah seorang lelaki bertanggungjawab dan bukan seperti mana dilabel oleh sesetengah pihak," katanya.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai dakwaan kononnya dia sering membawa pulang wanita ke rumahnya sehingga menimbulkan syak wasangka masyarakat setempat, Remy memberitahu isu berkenaan bukan perkara baharu.

Kata Remy, tuduhan sedemikian sering terjadi kepadanya dan dia yakin ia dilakukan oleh individu sama yang tidak berpuas hati dengannya.

"Saya sendiri tidak tahu dendam apa yang individu berkenaan simpan dalam hatinya sehingga membuat fitnah seperti itu kepada saya dan ia bukan pertama kali berlaku.

"Pada saya mudah, buat tidak tahu sahaja dengan tuduhan berkenaan kerana ia tidak akan berhenti. Hendak sekat akaunnya di Instagaram, dia boleh hasilkan yang lain.

"Jadi buat apa hendak layan perkara sedemikian dan saya tidak boleh puaskan hati semua pihak. Jadi biarlah," katanya.

Remy Ishak, Roszaliza Yusof.

Artikel Lain