suria

"Awie Sering Kali Elak Terima Surat Saman" - Isteri

Rozana memberitahu perbicaraan kes tuntutan hak penjagaan anak kekal terhadap tiga anaknya bersama Awie akan disebut pada 28 Ogos depan.

KUALA LUMPUR: Hasrat Rozana Misbun iaitu isteri kepada vokalis Wings, Awie untuk menyelesaikan untutan Hadhanah (hak penjagaan kekal) terhadap tiga anak mereka menemui jalan buntu apabila penyanyi itu cuba mengelak daripada menerima surat saman yang dikeluarkan kepadanya.

Rozana, 36, berkata, dia menerusi peguamnya beberapa kali cuba menyerahkan dokumen berkenaan namun gagal apabila Awie melakukan pelbagai helah untuk tidak menerima dokumen itu.

"Saya dan peguam pernah pergi ke rumahnya untuk menghantar surat berkenaan tetapi tiada siapa di rumah. Wakil saya juga pergi ke Istana Budaya semasa dia ada latihan tetapi dihalang berjumpa dengannya.

"Saya juga tidak pasti mengapa dia enggan menerima surat saman berkenaan kerana tarikh sebutan pada hari ini (Selasa) sudah diketahuinya," kata Rozana kepada mStar Online.

Rozana ditemui selepas sebutan kes berkenaan yang hanya diadakan di hadapan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah di sini iaitu Nor Faiz Afsal Abu Bakar.

Awie tidak hadir pada sebutan kes tuntutan hak penjagaan kekal terhadap anak-anaknya pada Selasa. 

Awie bagaimanapun tidak hadir pada sebutan kes tersebut manakala Rozana tampil bersama peguamnya, Jamal Mohd Lokman Sulaiman.

Dalam pada itu, Rozana memberitahu, Nor Faiz menangguhkan kes berkenaan pada 28 Julai depan dan meminta pihaknya untuk mencuba sekali lagi menghantar surat saman berkenaan kepada Awie.

Sekiranya gagal, perbicaraan kes berkenaan akan diteruskan tanpa kehadiran Awie.

Terdahulu, Rozana, mendapat hak penjagaan sementara anak-anak mereka iaitu Putra Ahmad Merrah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5 sehingga keputusan hak penjagaan kekal diputuskan mahkamah.

Awie dan Rozana berkahwin secara rahsia di Selatan Thailand pada 20 Jun 2005.

Rozana Misbun, Awie.

Artikel Lain