suria

Anak Kecil Rita Rudaini Tunjuk Minat Jadi Imam

Rita Rudaini gembira apabila anaknya Rayyan menunjukkan minat mendalam terhadap ilmu agama.

PETALING JAYA: Pelakon Rita Rudaini lega apabila anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin menunjukkan minat mendalam terhadap Al Quran dan bercita-cita ingin menjadi seorang Imam.

Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar, 39, berkata, Rayyan yang berusia enam tahun sentiasa teruja untuk menghadiri kelas Al Quran malah gemar mengikuti guru agamanya ke masjid.

"Alhamdulillah Rayyan memang suka mengaji dan pergi ke masjid apabila mempunyai masa terluang dan saya bersyukur kerana dia menunjukkan minat mendalam terhadap Al Quran.

"Dia pernah beritahu saya dia ingin menjadi Imam dan sebagai ibu sudah tentu ia perkara menggembirakan saya," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Rita berkata, sebagai menyokong minat anaknya itu dia berhasrat untuk mendaftarkan kanak-kanak itu ke sekolah berteraskan agama pada tahun hadapan.

Buah hati Rita...Rayyan dan Arjuna.

Malah kata Rita, dia sudah menemui beberapa pilihan bersesuaian dan akan membuat keputusan dalam masa terdekat ini.

"Tahun hadapan dia akan masuk darjah satu dan apabila melihat minatnya dalam bidang agama saya fikir lebih baik daftarkan dia ke sekolah berteraskan agama," katanya.

Selain Rayyan, Rita mempunyai seorang lagi anak lelaki iaitu Airit Qaqa Arjuna, empat tahun hasil perkahwinannya dengan pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan pada 25 Februari 2008.

Pasangan itu bagaimanapun sah bercerai talak satu pada 5 September 2015 selepas lima tahun berkahwin.

Sementara itu, Rita berkata, dia bersyukur kehidupannya kini bersama anak-anak semakin ceria dan bahagia biarpun masih ada beberapa konflik di antaranya dan Aidil masih belum selesai di mahkamah.

Jelas Rita, tumpuannya adalah kepada dua kanak-kanak berkenaan dan tidak mahu mereka berasa terasing hanya kerana masalah dihadapinya.

"Saya sentiasa memastikan selepas selesai sesuatu kerja saya akan ambil cuti selama seminggu untuk bersama anak-anak.

"Malah jika ada perkara yang saya janji dengan mereka, saya memang akan tolak apa juga tawaran lakonan demi bersama mereka," katanya.

Rita Rudaini.

Artikel Lain