suria

'Lelaki Harapan Dunia' Menang Anugerah Di Festival Filem Antarabangsa Fajr

Pengarah filem Lelaki Harapan Dunia, Liew Seng Tat.

PETALING JAYA: Filem Malaysia Lelaki Harapan Dunia telah memenangi Anugerah Khas Juri (Crystal Simorogh Special Jury Prize) dalam kategori Eastern Panoramadi Festival Filem Antarabangsa Fajr ke-33 di Tehran, Iran pada Sabtu lalu.

Pengarahnya Liew Seng Tat berkata, ia merupakan satu penghargaan besar buatnya dan seluruh produksi yang terlibat menjayakan filem tersebut.

"Anugerah ini adalah satu pernghargaan yang tidak ternilai.

"Kami berbangga kerana mampu mewakili negara menunjukkan karya tempatan di peringkat antarabangsa," katanya kepada mStar Online.


Lelaki Harapan Dunia atau tajuk Inggerisnya, Men Who Save The World, adalah antara 14 buah filem yang bertanding dalam kategori Eastern Panorama.

Festival Filem yang tertua di Iran itu telah berlangsung pada 25 April hingga 2 Mei lalu dengan menyaksikan penyertaan lebih 200 filem dari 80 buah negara.

Antara penggiat filem yang terkenal yang menghadiri festival tahun ini adalah Abbas Kiarostami, Ann Hui, Stanley Tong, Negar Javaherian dan Krzysztof Zanussi.

Lelaki Harapan Dunia ialah sebuah filem komedi drama yang mengisahkan beberapa kejadian malang yang menimpa sebuah perkampungan Melayu yang aman yang mengakibatkan salah faham, tuduhan palsu dan suasana riuh sekampung.

Filem ini membariskan pelakon yang antaranya seperti Wan Hanafi Su, Allahyarham Harun Salim Bachik, Soffi Jikan, Jalil Hamid, Azhan Rani, Azman Hassan dan Roslan Salleh.

Ia diterbitkan oleh Sharon Gan dan merupakan sebuah penerbitan bersama Malaysia dengan Belanda, Jerman dan Perancis.

Artikel Lain