suria

Shaheizy Sam Jawab Spekulasi Kemenangannya Di ABPBH 2014

Sam menganggap kemenangannya sebagai Bintang Paling Popular ABPBH 2014 sebagai rezeki.

GENTING HIGHLANDS: Pelakon Shaheizy Sam menganggap tuduhan kejayaannya merangkul trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2014) adalah hasil daripada pengaruh keluarga yang membuat undian adalah sebagai spekulasi biasa.

Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad, 33, berkata, perkara itu hanyalah tanggapan daripada sudut luaran sahaja.

"Spekulasi itu perkara biasa apabila kita menang seperti contoh saya seorang peminat bola dan sekiranya pasukan saya kalah pasti saya akan kata pengadil berat sebelah.

"Pada saya pertikaian yang dibangkitkan oleh pihak tertentu lebih kepada bersifat tanggapan yang mereka lihat daripada sudut luaran," katanya kepada mStar Online.

Selain Bintang Paling Popular 2014, Sam turut membawa pulang trofi menerusi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular pada acara yang diadakan di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang pada malam Ahad.

Sam terdahulu pernah dua kali merangkul gelaran sama iaitu pada tahun 2010 dan 2012.

Kemenangan Sam untuk hadiah utama pada tahun ini melayakkan dia membawa pulang trofi dan sebuah kereta Toyota Camry Hybrid sumbangan UMW Toyota Motors.

Dalam pada itu, Sam menjelaskan kemenangan tersebut adalah rezekinya hasil undian bukan sahaja daripada kelab peminatnya malah daripada seluruh penggemar industri hiburan tempatan.

Ahli keluarga Sam turut naik ke pentas bagi meraikan kemenangannya.

Malah kata Sam, dia sendiri tidak menyangka kemenangan akan menjadi miliknya berikutan kariernya agak perlahan sejak tahun lalu.

"Saya percaya undian yang saya terima ini adalah daripada semua pihak bukan sahaja daripada peminat saya sahaja, ia benar-benar membuatkan saya terharu.

"Tiada benda yang dapat saya lakukan untuk membalas jasa mereka selain doa dan ucapan terima kasih," katanya.

Sementara itu, Sam berkata, sebagai seorang pelakon dia masih belum puas selain masih menanti tawaran watak yang benar-benar mencabar kredibilitinya sebagai pelakon.

Jelas Sam, biarpun dia dilihat tidak memilih projek lakonannya namun ia adalah satu perkara yang perlu dilakukannya demi survival sementara menunggu tawaran hebat kepadanya.

"Saya perlu bekerja kerana saya ada tanggungjawab dan keluarga yang perlu saya utamakan dan ingin melihat mereka hidup senang.

"Demi merialisasikan impian itu saya perlu realistik dan tidak hanya duduk berdiam diri dan menunggu tawaran yang benar-benar kena dengan selera saya.

"Tetapi sebagai pelakon saya masih berharap akan dapat memegang watak yang benar-benar dapat memberi impak kepada lakonan saya," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Sam berkata, dia kini sedang menjalani penggambaran filem terbaharunya berjudul Interchange arahan pengarah, Dain Said.

Jelas Sam, filem itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Nicholas Saputra, Iedil Putra dan Prisia Nasution.

"Saya sanggup berkorban untuk filem terbaharu ini kerana sudah lama saya teringin untuk terlibat dalam sebuah naskah yang baik dan mencabar kredibiliti selain ia turut dibaris pelakon hebat," katanya.

Shaheizy Sam, ABPBH 2014.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain